KETUA Jurulatih Tajikistan, Petar Segrt yakin dengan karakter yang dipamerkan pemain Tajikistan mampu menundukkan Malaysia dalam perlawanan akhir esok.
Pun begitu, dia turut menghormati Harimau Malaya sebagai pasukan yang kuat dan memiliki pemain yang sangat laju dan mampu mendatangkan bahaya kepada barisan pertahanan Tajikistan.
Jurulatih berusia 56 tahun itu turut memuji kesungguhan pengurusan Malaysia dengan menyiapkan alatan canggih demi kebaikan dan pembangunan pemain.
Bekas pertahanan Croatia itu juga tidak menganggap kelebihan fizikal dimiliki pasukan Asia Tengah itu sebagai suatu yang bakal menggugat kubu Malaysia tetapi sempat menyelit peringatan kepada Harimau Malaya bahawa pasukan tersebut juga ingin memusnahkan harapan Malaysia dalam perlawanan akhir esok.
“Kita ada karakter, percaya saya. Kami adalah berbahaya kerana dengan karakter, kita telah menyingkirkan Trinidad Tobago sebelum ini dan sudah tentu juga perlawanan akhir.
Saya rasa Malaysia sangat laju, fizikal mereka juga telah berubah. Yang paling penting dalam bolasepak adalah hormat. Kita harus menghormati Malaysia. Pasukan Malaysia adalah sangat kuat, sangat serius dan telah banyak perubahan yang berlaku.
“Saya lihat di Malaysia, mereka ada segala-galanya di bilik persalinan. Mereka ada basikal, sistem kecergasan, GPS dan sebagainya. Kami di Tajikistan tidak mempunyai apa-apa.
“Penerbangan kami mengambil masa 35 jam, Malaysia hanya empat jam ke sini. Mereka ada GPS, sistem kecergasan dan sebagainya tetapi kami punyai karakter. Malaysia akan beri kita masalah tetapi percayalah kami juga akan beri masalah kepada kamu,” katanya ketika sidang media pra-perlawanan menjelang perlawanan akhir di Stadium 700th Anniversary Ahad ini.