PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Persatuan Takraw Thailand hari ini telah mengadakan satu mesyuarat yang penting di Majlis Olimpik Thailand, Bangkok.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader serta wakil utama dari Persatuan Takraw Thailand dan Istaf.
Mesyuarat ini menandakan satu langkah penting ke arah persiapan Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai yang ke-37.
Dalam mesyuarat itu, Istaf dengan pertama kalinya telah memberi mandat bahawa semua pasukan di bahagian perdana mesti menyertai acara Regu Berpasukan.
Keperluan baharu ini bertujuan untuk meningkatkan tahap persaingan dan memastikan pasukan terbaik dipertontonkan dalam kategori berprestij ini untuk menambah dimensi menarik kepada kejuaraan.
Selain itu, Istaf juga mengumumkan rancangan untuk menyediakan Pelan Induk komprehensif yang bertujuan untuk mencipta konsep dan strategi penyiaran terbaik.
Inisiatif ini direka untuk memastikan kejohanan itu dapat mencapai penonton global, memberikan pengalaman yang luar biasa dan meningkatkan profil antarabangsa sukan itu.
Kejohanan Sepaktakraw Dunia Piala Raja Thai yang ke-37 dijadualkan akan berlangsung pada 1 hingga 8 September 2024 di Korat, Thailand.
Sebanyak 33 negara akan menyertai kejohanan ini yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori perdana, bahagian satu dan divisyen dua, dengan setiap kategori mempunyai 6 hingga acara.