PERTEMUAN skuad Young Tigers dengan Korea Selatan pada Sabtu bakal menjadi penentu siapa lebih layak menjadi juara kumpulan B pada saingan Piala Remaja Asia 2023, yang berlangsung di Salalah, Oman.

Berbekalkan dua kemenangan, skuad hoki remaja negara kini berada di kedudukan kedua, di belakang Korea Selatan, selepas dibezakan dengan jumlah jaringan.

Menurut pengendali pasukan, Muhamad Amin Rahim, dia menuntut anak buahnya untuk kembali cergas sebelum turun beraksi di Kompleks Sukan Salalah, Oman, esok.

Membawa semangat memenangi pingat emas Sukan SEA di Kemboja, pasukan negara berjaya meraih dua kemenangan, menewaskan Bangladesh 5-1 dan Uzbekistan 8-1.

Pemain negara cuba melepasi dua pemain Bangladesh, Pix AHF

“Kita mempunyai tempoh rehat (hari ini) dan akan digunakan untuk pemulihan (kecergasan) dan semua pemain kena lakukan proses ini dengan betul… minum air dengan betul, makan dengan betul dan rehat secukupnya,” kata Amin.

Dalam pada itu, Korea Selatan turut mempunyai rekod kemenangan sama selepas menewaskan Oman 8-1 semalam dan Uzbekistan 6-1 pada Rabu, untuk mendahului carta kumpulan dengan kelebihan jaringan gol berbanding Malaysia.

Tidak boleh sambil lewa sepanjang 60 minit permainan. -Jurulatih remaja lelaki, Muhammad Amin Rahim.

“Dari segi analisa video pula, kita akan lihat semula apa yang kita lakukan dengan baik dan sudah tentu melihat kesilapan (bertemu Bangladesh) untuk kita tambah baik bagi menentang Korea Selatan nanti.

“Korea Selatan menentang Uzbekistan pada perlawanan pertama dan kita boleh lihat ada beberapa kekuatan dari segi pukulan sudut penalti, ada yang agak baik dan kita akan berikan tumpuan untuk tidak memberikan pukulan sudut penalti kepada lawan dan cuba bertahan sebaik mungkin.

Korea Selatan mempunyai ketajaman pukulan sudut penalti./Pix AHF

“Sudah tentu, akan ada perbezaan daripada sudut perancangan taktikal untuk menentang Korea Selatan. Apapun, kita akan gunakan waktu rehat ini dengan betul supaya kita boleh turun dengan segar,” kata Amin.

Piala Remaja Asia 2023 menjadi medan kelayakan ke Hoki Piala Dunia Remaja 2023 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Disember ini.

Tiga lagi slot tersedia untuk Benua Asia dengan Malaysia sudah layak selaku tuan rumah.

Pentas kejohanan di Oman ini akan digunakan skuad negara sebagai siri persiapan bagi menghadapi Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur 2023.