PENGENDALI skuad hoki remaja kebangsaan, Amin Rahim menuntut para pemainnya untuk menbuang sikap sambil lewa yang ditunjukkan ketika membenam Oman jika tidak mahu berdepan masalah ketika perlawanan separuh akhir menentang Pakistan pada Rabu.

Amin gembira dengan kemenangan keempat berturut-turut skuad kebangsaan dalam Kejohanan Piala Remaja Asia (Lelaki) 2023 namun dia masih tidak berpuas hati dengan corak permainan keseluruhan dan sikap yang ditunjukkan pemain.

Dia juga berharap kemenangan 1-0 keatas Oman itu adalah satu persembahan yang perlu dilupakan dan pemain bangkit untuk mempamerkan aksi yang ditunjukkan ketika tiga perlawanan pertama yang menyaksikan Malaysia mengumpul sembilan mata maksimum.

“Alhamdulillah kita berjaya capai misi untuk raih kemenangan tetapi secara keseluruhan saya kurang berpuas hati dengan persembahan pemain kerana kami banyak melepaskan peluang daripada jaringan padang dan sudut penalti.

“Pemain juga nampak sambil lewa dan jika perangai ini berterusan, kita akan hadapi masalah untuk perlawanan separuh akhir dan saya harap ini adalah ‘bad game’ untuk kejohanan ini dan pemain bangkit untuk perlawanan separuh akhir.

“Dari awal kita tahu kita mampu untuk duduk tempat teratas kumpulan dan pemain telah buktikan dalam tiga perlawanan pertama sebelum ini dan walaupun kita menang dengan Oman, saya tidak berpuas hati dengan persembahan pasukan dan harap mereka dapat ulangi persembahan yang ditunjukkan dalam tiga perlawanan itu dan bersedia untuk menentang Pakistan di separuh akhir,” katanya selepas perlawanan.

Melihat peluang Malaysia dalam perlawanan menentang Pakistan, Amin berkata mereka sudah mengenalpasti beberapa kelemahan yang ada pada pasukan lawan dan yakin mereka boleh jelmakan keputusan yang baik sekiranya menunjukkan semangat seperti tiga perlawanan awal sebelum ini.

“Kita ada tempoh dua hari sebelum menentang Pakistan dan akan gunakan tempoh ini untuk proses pemulihan dan analisis kekuatan dan kelemahan lawan. Kita tahu Pakistan adalah antara pasukan yang kuat dalam Kumpulan A bersama India tetapi ada beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti.

“Saya harap para pemain sudah membuat ‘homework’ tentang lawan mereka dan saya yakin jika kita turun dengan semangat yang sama pada tiga perlawanan pertama tempoh hari, kita boleh jelmakan keputusan yang baik,” tambahnya.

Malaysia sebagai juara Kumpulan B akan menentang Pakistan, juara tiga kali kejohanan ini untuk layak ke final selepas kali terakhir melakukannya pada 2012 dan sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur pada Disember.