PEMAIN Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco, menganggap Borneo FC Samarinda sebagai cabaran yang lebih sukar berbanding PSM Makassar ketika pasukannya bersedia untuk beraksi dalam saingan Piala Shopee di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Khamis.
Menurut Giancarlo, pengalaman berdepan PSM Makassar sebelum ini tidak boleh dibandingkan dengan kekuatan Borneo FC yang kini berada dalam prestasi cemerlang.
“Saya percaya Borneo lebih kuat daripada PSM Makassar. Ketika kami bertemu PSM dahulu, mereka berada dalam fasa pramusim. Sekarang, Borneo datang selepas memenangi tempat pertama tahun lepas dan memulakan tahun ini dengan baik.
“Mereka mempunyai penyerang yang menjaringkan enam gol dalam 10 perlawanan terakhir, jadi saya rasa ini akan menjadi cabaran yang lebih sukar untuk kami,” jelasnya.
Giancarlo juga menyatakan bahawa pencapaian dalam AFC Cup memberikan motivasi kepada pasukannya untuk berusaha mengekalkan prestasi baik mereka dalam Shoppe Cup.
“Saya berharap kami dapat mengulangi kejayaan itu. Kami dikenali dengan pencapaian ini, tetapi kami mengambilnya langkah demi langkah, minit demi minit. Kami perlu fokus pada setiap langkah seterusnya,” tambahnya.
Walaupun menghormati lawan, Giancarlo percaya bahawa kunci kejayaan adalah dengan memastikan KL City berjuang hingga ke minit terakhir dan menjadikan Stadium Kuala Lumpur sebagai tempat yang sukar untuk dilalui lawan.
“Paling penting pada esok malam melakukan apa yang kami tahu boleh lakukan, iaitu berjuang hingga ke minit terakhir,” ujarnya penuh harapan.
Perlawanan antara KL City dan Borneo FC Samarinda dijadualkan berlangsung malam Khamis, dan kini duduki tangga ketiga dalam kumpulan B selepas berjaya mengalahkan Kaya Fc dalam perlawanan pertama Ogos lalu.