KAPTEN Terengganu FC, Safawi Rasid, menegaskan bahawa pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk menentang Dong A Thanh Hoa FC dalam aksi kedua Piala Shopee 2024, yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan, Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu.

Meskipun dihimpit dengan beberapa isu kecederaan pemain import, Safawi tetap yakin sesiapa sahaja yang diberi peluang untuk beraksi akan memberikan yang terbaik demi kemenangan.

“Untuk perlawanan esok, semua pemain sudah bersedia. Siapa sahaja yang turun akan berikan 100 peratus untuk pastikan kami dapat tiga mata pertama,” ujar Safawi ketika ditanya mengenai potensi perubahan dalam kesebelasan utama esok.

Safawi turut menekankan bahawa matlamat utama pasukan bukan hanya bergantung kepada siapa yang menjaringkan gol, tetapi fokus sepenuhnya adalah untuk memastikan kemenangan dan meraih tiga mata penting.

“Bagi saya, siapa yang jaringkan gol tak penting, yang paling utama adalah untuk dapatkan kemenangan pertama TFC dan tiga mata esok,” katanya.

Terengganu FC sebelum ini tewas dalam perlawanan pembukaan walaupun mendominasi sebahagian besar permainan. Safawi mengakui kekecewaan tersebut, namun dia percaya pasukan akan bangkit dalam perlawanan esok untuk menebus kesilapan dan memperbaiki prestasi.

“Kami memang kecewa dengan perlawanan pertama kerana bermain di tempat sendiri tetapi gagal mendapatkan 3 mata. Namun, itu adalah bola sepak.

“Esok, kami sangat bersemangat untuk mendapatkan kemenangan bagi meningkatkan keyakinan pasukan dalam perlawanan seterusnya,” kata pemain kelahiran Dungun itu.

Kapten TFC, Safawi Rasid tagih sokongan padu penyokong Terengganu malam esok.

Safawi juga menyeru agar penyokong setia Terengganu memberikan sokongan penuh di stadium kerana percaya sokongan mereka mampu memberikan dorongan tambahan kepada pemain dalam perlawanan yang dijangka sukar ini.

“Kami perlukan sokongan daripada penyokong. Sokongan mereka esok akan beri lebih keyakinan kepada pasukan untuk bersaing dengan baik. Terima kasih,” katanya.

Perlawanan menentang  kelab dari Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC bakal menjadi ujian buat TFC, dengan Safawi dan rakan sepasukan bertekad untuk mencatat kemenangan pertama di hadapan penyokong sendiri.

Terengganu kini duduki tangga kelima dalam kumpulan A tanpa sebarang mata dan Dong A Thanh Hoa FC mengungguli tangga pertama dengan tiga mata ketika mereka berjaya mengutip dengan menewaskan Shan United 3-1 pada Ogos lepas.