SABAH FC akan menggunakan kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermula Selasa sebagai platform terbaik untuk mengukur tahap persediaan pemain bagi menghadapi saingan Liga Super yang akan bermula pada 10 Mei 2024.
Ketua jurulatih The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee menyatakan, walaupun sasaran untuk menjadi juara itu penting, namun matlamat utamanya adalah untuk melihat kekuatan dan kelemahan para pemainnya sebelum aksi liga bermula.
Itu adalah objektif utama perlawanan pra musim yang disertai dua lagi pasukan dalam Liga Super, Kuala Lumpur City FC dan Kuching City FC, selain pasukan dari Liga Premier Singapura, Hougang United.
“Kebiasaannya apabila kita bermain, sudah tentu kita inginkan kemenangan, namun objektif utama kita ialah untuk mendapatkan kecergasan perlawanan dan untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan kita sebelum musim bermula.
“Itu yang lebih penting, tapi kita tetap akan cuba hingga ke peringkat akhir perlawanan dan menjadi juara. Namun, apa yang lebih penting ialah untuk saya mengenal pasti kombinasi Sabah FC,” katanya pada sidang media pra perlawanan Piala SMJ di Stadium Likas.
Sidang media itu turut disertai Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak dan ketua jurulatih Hougang United, Marko Kraljevic manakala pengendali Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac tidak dapat hadir kerana masih dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.
Perkara yang sama turut diakui kedua-dua ketua jurulatih Kuching City dan Hougang United yang mahu menjadikan kejohanan ini untuk menguji pemain masing-masing menjelang permulaan liga musim ini, di samping untuk memenangi perlawanan.
Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata dia mahu menguji kombinasi pemainnya kerana pasukannya membariskan banyak muka-muka baharu dan peluang untuk mendapat tiga perlawanan kompetitif seperti ini tidak harus dilepaskan peluang buat skuadnya.
Ketua jurulatih Hougang United, Marko Kraljevic turut menyifatkan kunjungan kedua pasukannya ke Sabah selepas aksi Kumpulan H Piala AFC 2023 sebelum ini sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu dan memilih Sabah kerana tahap kompetitif yang lebih tinggu.
“Kita memilih Sabah sebab tahun lalu kami bermain di sini ketika Piala AFC dan melihat permainan Sabah yang cukup baik, jadi ada banyak perkara yang kita boleh belajar di sini,” katanya.
Sabah akan membuka tirai saingan bertemu Hougang United pada Isnin di sebelah malam manakala Kuala Lumpur City dan Kuching City berentap pada sebelah petang dengan kesemua permainan berlangsung di Stadium Likas.
Kejohanan empat penjuru edisi kedua ini menawarkan hadiah berbentuk piala dan wang tunai RM15,000 untuk juara, RM10,000 untuk naib juara manakala tempat ketiga akan menerima RM5,000 dengan pasukan tempat keempat membawa pulang RM3,000.