TINDAKAN Akademi Badminton Malaysia (ABM) menyenaraikan empat beregu campuran dalam skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China dari 14 hingga 12 Mei ini, menimbulkan tanda tanya apakah itu satu strategi untuk merangkul kejuaraan pertama atau atas alasan lain.
Penyenaraian Chen Teng Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing dari skuad kebangsaan dan dua lagi gandingan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, bagai melambakkan pasangan beregu campuran dalam kejohanan berpasukan campuran terulung itu.
Pengarah Prestasi Tinggi ABM, Dr Tim Jones ketika menjelaskan mengenai keputusan itu berkata, ia dibuat bagi memberi peluang yang adil kepada pemain kebangsaan dan profesional untuk mewakili negara dalam saingan utama antarabangsa.
Bagaimanapun, Jones menegaskan semua pemain yang disenaraikan itu perlu membuktikan kemampuan masing-masing sekiranya berhasrat untuk turun beraksi pada kejohanan itu yang turut menjadi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Kita bawa empat beregu campuran bagi memastikan ia adil untuk pemain-pemain kebangsaan dan profesional. Kita mahu bagi peluang sama rata tetapi mereka perlu buktikan kemampuan masing-masing,” katanya, pada sidang media pengumuman senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran di Suzhou.
Keempat-empat beregu campuran itu akan bersaing antara satu sama lain bagi merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris.
Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam setiap acara sekiranya masing-masing berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan ke Olimpik pada April tahun depan.
Terdahulu, Jones mengumumkan senarai 20 pemain ke Suzhou dengan skuad lelaki dibarisi Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi, Soon Huat, Kian Meng, Tang Jie dan Pang Ron manakala wanita pula dibarisi Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Pearly Tan, M. Thinaah, Go Pei Kee, Valeree Siow, Shevon , Pei Jing, Ee Wei dan Mei Xing.
Mengulas mengenai sasaran skuad negara pada kempen Piala Sudirman kali ini, Jones percaya separuh akhir adalah sasaran realistik berdasarkan kekuatan yang dimiliki ketika ini.
Katanya, Malaysia perlu memiliki skuad fleksibel terutamanya dalam acara beregu bagi memastikan mereka dapat membentuk gandingan pecahan yang berpeluang untuk menyumbang mata.
“Sudah tentu kita letak sasaran untuk layak ke separuh akhir dan kita akn pastikan Malaysia memiliki pasukan terkuat di Piala Sudirman nanti. Kami cuba untuk fleksibel dengan peluang untuk gandingan pecahan.
“Bagi membentuk pasukan terkuat, memang kita beri pertimbangan terhadap dua aspek, iaitu ranking dan prestasi semasa. Sebagai contoh, Tang Jie dan Ee Wei yang baru sahaja menang di Masters Orleans (Perancis),” katanya.