TIDAK mudah kali pertama memasuki gelanggang dalam mana-mana kejohanan, namun gandingan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya melaksanakan tanggungjawab itu dengan memastikan mata pertama pasukan ketika menentang Taiwan, pada perlawanan ketiga kumpulan C, Piala Sudirman.
Setakat ini, pemain pertama yang turun ke gelanggang belum mengecewakan dan menjadi faktor penaik semangat rakan sepasukan.
“Teruja dan gementar dapat bermain kali pertama Piala Sudirman hingga memberi lawan menguasai permainan terutamanya di set pertama.
“Tapi coach (Nova Widianto) beritahu percaya diri kerana strategi sudah betul, kami yakin. Pada perlawanan hari ini, saya cepat menyesuaikan diri di gelanggang jadi coach minta saya bertanggungjawab memimpin Eei Wei, sokong dia dan akhirnya kami berjaya,” kata Tang Jie, mengulas mengenai perlawanan menentang pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.
Pada perlawanan itu, gandingan negara menang 17-21, 21-19, 21-17, sekali gus menghadiahkan mata pertama buat pasukan.
Situasi sama turut berlaku pada perlawanan pertama dan kedua, menentang Australia dan India apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berada di puncak prestasi, mendapatkan mata pertama.
Turun beraksi pada perlawanan kedua, Lee Zii Jia tampil dengan keyakinan baharu apabila menundukkan Chou Tien Chen 21-14 dalam set pertama sebelum diberi tentangan sengit pada set kedua.
Goh Jin Wei yang turun dalam perseorangan wanita bagaimanapun terpaksa akur dengan kehebatan Tai Tzu Ying, tunduk 8-21, 10-21, menjadikan kedudukan 2-1 memihak Malaysia.
Barisan jurulatih yang memutuskan untuk merehatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meletakkan gandingan berpengalaman Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menentang Lu Ching Yao-Yang Po Han.
Beregu lelaki negara itu tiada masalah besar menghadiahkan mata ketiga dengan kemenangan 21-8, 23-21.
Turun melengkapkan jadual perlawanan, Pearly Tan-M Thinaah bersaing sengit dengan gandingan lawan, Hsu Ya Ching-Teng Chun Hsun.
Mereka menang 21-15, 19-21, 21-15 memastikan kemenangan 4-1 pasukan negara ke atas Taiwan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai juara kumpulan C dan menanti lawan di suku akhir nanti.
Prestasi dipamerkan pemain utama negara ketika ini amat memberangsangkan, terutamanya saingan di Piala Sudirman sudah mula dikira sebagai pusingan memungut mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.