JEPUN mencipta kejutan pada hari kedua Piala Sultan Azlan Shah 2024 apabila berjaya mengalahkan pasukan ranking tertinggi dalam kejohanan, New Zealand dengan keputusan 4-1 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah pada Ahad.

Turun sebagai pasukan ‘underdog’ dalam perlawanan petang itu, Jepun seolah-olah tidak kisah dengan label itu apabila berani melawan pasukan yang sedang menyiapkan diri untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Skuad kendalian Yoshihiro Anai yang menduduki ranking ke-16 dunia itu memulakan aksi petang dengan begitu baik sekali apabila mengawal permainan daripada permulaan perlawanan.

Naru Kimura memberikan Jepun gol pendahuluan menerusi gol padang pada minit ke-13.

Jepun terus memberi tekanan kepada pasukan ranking ke-10 dunia itu dan hasilnya berjaya menjaringkan gol hasil pukulan sudut penalti menerusi Raiki Fujishima pada minit ke-23.

Tsubasa Tanaka meneruskan prestasi cemerlang menjaringkan gol apabila menyumbat gol ketiga buat Jepun pada minit ke-43 hasil gol padang.

New Zealand berjaya menarik balik satu gol kelebihan Jepun apabila Scott Cosslett menjaringkan gol pukulan sudut penalti pada minit ke-55.

Jepun melengkapkan perlawanan dengan cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol keempat menerusi Ken Nagayoshi pada minit terakhir permainan.

Ini merupakan kemenangan pertama Jepun keatas New Zealand dalam tempoh 5 tahun dan anak buah Yoshihiro Anai pasti mahu mengekalkan momentum kemenangan mereka untuk perlawanan akan datang.

Jepun akan bertemu dengan pasukan Pakistan manakala New Zealand akan bertemu tuan rumah Malaysia pada Selasa ini.