JEPUN mencipta sejarah apabila berjaya memenangi Piala Sultan Azlan Shah buat pertama kali selepas menumpaskan Pakistan dalam perlawanan final.

Dalam aksi final yang dramatik, keputusan diantara kedua-dua pasukan hanya boleh ditentukan menerusi penentuan penalti selepas keputusan seri 2-2 dalam masa permainan sebenar.

Pasukan kendalian Yoshihiro Anai mendahului permainan pada minit ke-12 selepas pemain berusia 31 tahun Seren Tanaka menjaringkan gol padang

Pasukan kendalian Roelant Oltmans menjaringkan dua gol di suku ketiga, kedua-duanya hasil gol padang menerusi Ajaz Ahmad pada minit ke-34 dan Abdul Rehman pada minit ke-37.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan Jepun yang menduduki ranking ke-16 dunia kembali mendapatkan fokus mereka untuk mencari gol penyamaan.

Dikala Pakistan kerap menguji pintu gol Jepun, Kazumasa Matsumoto menjadi ‘duri dalam daging’ apabila beliau menjaringkan gol penyamaan untuk Pakistan pada minit ke-47.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat sekali gus gelaran Piala Sultan Azlan Shah ditentukan menerusi penentuan penalti.

Takumi Kitagawa menjadi hero buat pasukan Samurai selepas menyelamatkan penalti Pakistan sebanyak tiga kali manakala Kazumasa Matsumoto meletak namanya dalam buku sejarah hoki Jepun selepas menjaringkan penalti yang membawa Jepun ke puncak kejayaan di Ipoh.

Selepas enam penampilan dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, Jepun akhirnya berjaya mendakap piala yang mereka inginkan selama ini.