PASUKAN Jepun dan Pakistan menuju ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah 2024 dengan rekod tanpa kalah dalam kumpulan apabila kedua-dua pasukan berjaya mendapatkan mata daripada lawan masing-masing.
Jepun melakar kemenangan di perlawanan terakhir kumpulan menentang Kanada dengan keputusan 2-1, sekaligus memastikan mereka berada di puncak carta kumpulan dengan 13 mata.
Terlebih dahulu, Sean Davis memberikan pendahuluan mengejut apabila berjaya membolosi gawang gol Jepun pada minit ke-42 hasil gol padang.
Jepun tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol penyamaan apabila Hiro Saito menjaringkan gol padang pada minit ke-43 sebelum penjaring terbanyak pasukan Jepun dalam kejohanan ini, Tanaka Tsubasa menjaringkan gol kedua pada minit ke-56 hasil gol padang.
Jepun mengesahkan tiga mata milik mereka apabila gol ketiga terhasil menerusi Kosei Kawabe pada minit ke-60 hasil gol padang.
Sementara itu, aksi petang menyaksikan satu lagi finalis iaitu Pakistan terpaksa kongsi mata dengan New Zealand, sekaligus mereka memungut 11 mata untuk berada di tempat kedua dalam kumpulan.
New Zealand mendahului perlawanan menerusi Luke Holmes pada minit ke-35 hasil gol padang namun Pakistan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-43 menerusi gol pukulan sudut penalti oleh Abu Bakar Mahmood.
Kedua-dua pasukan cuba untuk mencari gol kemenangan pada suku keempat namun kedua-duanya gagal untuk menemui gol, sekaligus keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.
Jepun dan Pakistan akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah esok, jam 8.30 malam di Stadium Hoki Azlan Shah.