IMPIAN Speedy Tigers untuk mempertahankan Piala Sultan Azlan Shah lebur selepas tumpas dengan Jepun dengan keputusan 2-1 pada perlawanan keempat pada Rabu malam.
Pada perlawanan di Stadium Azlan Shah, Malaysia hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-23 namun percubaan Faizal Saari berjaya dinafikan Yoshikawa.
Jepun berjaya membolosi benteng pertahanan Malaysia apabila Kazumasa Matsumoto menjaringkan gol pertama pada minit ke-24.
Tujuh minit kemudian, Faizal Saari menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 hasil gol padang untuk memberikan Malaysia sinar harapan untuk mendapatkan kemenangan.
Ketika Malaysia melancarkan serangan ke atas pintu gol Jepun pada suku keempat, pertahanan negara melakukan kesilapan ketika membina serangan sehingga menyebabkan Jepun mendapatkan bola dan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-50 menerusi Ooka Ryoma.
Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia terus melakukan percubaan bertubi-tubi kearah pintu gol Jepun namun percubaan mereka diselamatkan oleh penjaga gol Jepun.
Menurut ketua jurulatih negara, Sarjit Singh berkata bahawa pemainnya bermain dengan baik walaupun mengalami kekalahan.
“Pemain berasa gementar pada suku pertama dan kedua tetapi suku ketiga dan keempat kami berjaya membina keyakinan diri untuk menyerang.
“Kami memperoleh banyak peluang di suku ketiga dan keempat, peluang yang jika kami menukar ke gol kami memang akan memenangi perlawanan.
“Pemain saya bermain dengan baik malam ini, mereka berlawan sehingga minit terakhir untuk mendapatkan kemenangan namun kita perlu jaringkan gol bila ada peluang. Jepun bermain dengan sangat baik malam ini terutamanya dari segi bertahan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Kekalahan ini menyebabkan Malaysia kemungkinan besar bakal bermain di penentuan tempat ketiga dan keempat manakala Jepun dan Pakistan merebut kejuaraan edisi ke-30.
Justeru, bagi memastikan Speedy Tigers berada dalam kelompok empat terbaik, mereka perlu membenam cabaran Korea Selatan pada aksi terakhir sepusingan, Jumaat ini.
Untuk rekod, pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan pada tahun 2022 di kejohanan itu, menyaksikan Malaysia menewaskan Jepun 4-2.