PEMAIN tengah hoki negara, Fitri Saari  gembira dengan persembahan yang ditonjolkan oleh rakan sepasukannya walaupun tewas 2-1 kepada Jepun pada Rabu dalam saingan kumpulan Piala Sulta Azlan Shah, Ipoh.

Fitri menegaskan bahawa rakan-rakannya cuba yang terbaik untuk mendapatkan gol terutamanya di suku ketiga dan keempat namun rezeki tidak menyebelahi pasukan Malaysia.

“Bagi saya kita dah cuba yang terbaik. Bukan senang untuk kami cipta peluang dengan begitu banyak terutamanya di suku ketiga dan keempat.

“Kita tahu kelemahan kita kena diperbaiki untuk pergi ke Nations Cup nanti di Poland.

“Saya harap kita punya bahagian serangan dan tengah kalau ada peluang tolong jaringkan gol sebab kita kena klinikal dalam kawasan bulatan, itu yang membezakan kita kalah, menang atau seri. Jadi harini (semalam) kita tak klinikal, tak cukup tajam di depan pintu gol,” katanya selepas perlawanan.

“Bagi saya, kita kena balik dan berlatih lagi dan tajam didepan pintu gol, sebelum ini lawan New Zealand kita dah tajam di bahagian depan, mungkin harini kita tak bernasib baik,” tambahnya lagi.

Kemenangan Jepun semalam bermakna Pakistan dan Jepun akan bermain di perlawanan akhir edisi ke-30 Sabtu ini.

Kekalahan kepada Jepun itu menyaksikan Malaysia tidak mampu mengejar dua tempat teratas iaitu Pakistan dan Jepun yang mendahului The Speedy Tigers dengan 4 mata dengan baki satu perlawanan kumpulan yang tinggal.

Fitri melihat baki perlawanan akan datang sebagai satu persiapan untuk skuad hoki negara sebelum ke Poland untuk beraksi dalam kejohanan Nations Cup.

“Kalau kita menang pun kita akan main perlawanan tempat 3/4, kemungkinan kita akan jumpa New Zealand sekali lagi.

Faizal Saari merupakan penjaring tunggal untuk Malaysia dalam perlawanan semalam.

“Bagi saya, kalau kita menang lawan Korea ia merupakan satu moral yang baik untuk kita bawa ke hadapan sebab dalam ranking kita nombor tiga paling tinggi dalam kejohanan, New Zealand berada di tempat teratas manakala Korea di tempat kedua jadi saya harap kita dapat rentak yang baik.

“Kita kena ambil pengalaman yang bagus, kita tahu perlawanan peringkat tertinggi, dia punya kepantasan perlawanan macam mana jadi saya berharap kita dapat perlawanan yang baik untuk tempat 3/4 dan kita dapatkan pingat gangsa,” ujarnya lagi.

Malaysia akan dijadualkan bertemu dengan Korea Selatan esok pada jam 8.30 malam sebelum bermain di perlawanan tempat 3/4 Sabtu ini.