PERLAWANAN hari keempat Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah menyaksikan Pakistan terus mengukuh kedudukan dengan kemenangan 5-4 ke atas Kanada di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Rabu.
Berikutan kemenangan itu, Pakistan kini mengumpul 10 mata dengan empat perlawanan tanpa tewas, satu seri manakala Kanada pula masih lagi gagal mengutip sebarang mata.
Biarpun menjadi pasukan paling bawah dalam kumpulan, anak buah Patrick Tshutshani ini memulakan permainan dengan baik apabila melancarkan beberapa serangan terhadap pintu gol Pakistan.
Pintu gol Pakistan dibolosi seawal minit ke-5 hasil gol padang Sean Davis, memberikan Kanada pendahuluan pada suku pertama.
Harbir Sidhu menambah jaringan untuk Kanada apabila beliau menjaringkan gol pada minit ke-17 hasil gol padang.
Pakistan yang tersentak dengan jaringan kedua itu kembali memperkemaskan permainan mereka dan berjaya menjaringkan dua gol sebelum tamat separuh masa apabila Abu Bakar Mahmood menjaringkan dua gol hasil pukulan sudut penalti.
Pasukan ranking ke-15 dunia itu berada di hadapan pada minit ke-36 hasil jaringan gol padang oleh Arshad Liaqat.
Pakistan menambah dua jaringan gol padang pada suku ketiga menerusi Rana Waheed Ashraf dan Ghazanfar Ali pada minit ke-44 dan 45 sebelum Kanada menambahkan jaringan pada minit ke-45, juga menerusi Sean Davis.
Pada suku keempat permainan, Kanada terus melancarkan serangan bertubu-tubi ke arah pintu gol Pakistan sekaligus berjaya menambah jaringan pada minit ke-50 menerusi Avjot Buttar.
Kanada cuba untuk mencari gol penyamaan namun gagal menemui jaringan. Pakistan memenangi perlawanan dengan keputusan 5-4.
Pakistan akan bertemu pasukan New Zealand pada aksi terakhir kumpulan pada Jumaat ini, pukul 4 petang.