KEJAYAAN The Speedy Tigers dalam menewaskan pasukan New Zealand telah membuka peluang untuk mereka kembali mengejar dua tempat teratas dalam kumpulan untuk kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2024.

Dua pasukan teratas iaitu Pakistan dan Jepun bertembung sesama sendiri semalam dan berakhir seri 1-1 sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah.

Malaysia pula berjaya mengalahkan New Zealand dengan keputusan 6-4 hasil jaringan gol hatrik Azrai Aizad Abu Kamal serta gol daripada Faizal Saari, Azimuddin Kamaruddin dan Muhajir Abdul Rauf.

Azrai Aizad Abu Kamal dan Shello Silverius meraikan kejayaan bersama-sama.

Jepun dan Pakistan memperoleh tujuh mata setakat ini manakala Malaysia yang berada di tempat ketiga memperoleh enam mata.

Hari ini, The Speedy Tigers akan berdepan cabaran Jepun, pasukan yang paling mengejutkan dan mencuri perhatian media dengan permainan prinsip hoki ‘Samurai’ diterapkan dalam pasukan.

Pasukan hoki Jepun dalam proses membina semula pasukan dalam usaha mereka untuk menyiapkan pasukan yang mantap menjelang Sukan Asia 2026 yang juga diadakan di Jepun.

Dalam lima pertembungan akhir antara kedua-dua pasukan dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia berjaya menewaskan Jepun sebanyak empat kali dan seri sekali, meletakkan Malaysia sebagai pilihan untuk perlawanan malam ini.

Azrai Aizad Abu Kamal yang juga merupakan penjaring terbanyak dalam kejohanan setakat ini dengan tujuh gol, merupakan pemain yang mencetuskan rasa resah dalam diri pengendali Jepun, Yoshihiro Anai.

“Barisan pemain kami perlu lebih bekerja keras untuk mengawal pergerakan lawan kerana Malaysia pasukan mempunyai corak permainan pantas.

“Bagi saya, pemain nombor 23 (Azrai) sangat berbahaya kerana dia pernah menjaringkan gol ketika bertemu Pakistan dan Kanada,” katanya pada sidang media semalam.

Jepun hanya dibolosi sebanyak tiga kali sepanjang kejohanan setakat ini.

Ketua jurulatih The Speedy Tigers, Sarjit Singh pula berkata bahawa dia tidak kisah jika pasukan lawannya hanya takut kepada Azrai.

“Kami hanya keluar dalam perlawanan dan menikmati permainan kami. Apa yang saya mahu melihat ialah prestasi yang baik daripada pemain kami.

“Azrai merupakan pemain luar biasa, kita perlu berikan lebih banyak perlawanan untuknya menjadi lebih baik dan lebih berpengalaman di pentas antarabangsa, dia perlu tenang tetapi dia semakin baik dalam permainannya setiap hari,” katanya.

Malaysia dan Jepun akan beraksi pada hari keempat kejohanan, hari ini jam 8.30 malam.