PASUKAN hoki lelaki New Zealand mahu menjadikan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah sebagai platform untuk mereka membentuk mentaliti menang dalam setiap diri pemain sebelum ke Sukan Olimpik Paris Julai nanti.
New Zealand merupakan satu-satunya pasukan yang bertanding yang dalam edisi kali ini yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut ketua jurulatih hoki New Zealand, Greg Nicol berkata kejohanan ini merupakan salah satu persediaan terbaik untuk New Zealand.
“Objektif pertama saya di sini (PSAS) adalah membina dan menerapkan mentaliti menang dalam diri setiap pemain, ini amat penting kerana kami bakal beraksi di Sukan Olimpik,” tegasnya.
Black Sticks hadir ke Ipoh tanpa tujuh tonggak utama yang membawa pasukan itu layak ke Paris sewaktu kelayakan Olimpik di Oman, Januari lalu disebabkan mereka bermain di liga Eropah.
“Selain itu, saya juga menyenaraikan beberapa pemain baharu untuk menilai prestasi mereka bagi memberi lebih banyak pilihan kepada saya dalam memilih senarai akhir pemain ke Paris.
“Tiga pemain muda yang bermain di Piala Dunia remaja turut dipanggil buat kali pertama dalam pasukan senior iaitu Scott (Cosslett), Jonty (Elmes) dan Luke (Holmes),” katanya lagi.
Beliau turut mengakui bahawa Piala Sultan Azlan Shah adalah antara kejohanan yang berprestij dalam arena hoki antarabangsa.
Ketika ditanya mengenai aksi persahabatan menentang Malaysia semalam, (hari Rabu) Nicol tidak terlalu bimbang mengenai kekalahan 2-3 dicatat pasukannya, malah ia adalah satu pembelajaran berguna buat pemain.
“Perlawanan yang bagus dan kita tahu Malaysia pasukan yang baik. Mereka berbahaya jika diberi ruang yang banyak.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati, ia satu pembelajaran yang bagus untuk pasukan sebelum memulakan aksi sebenar,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, New Zealand muncul juara Piala Sultan Azlan Shah sebanyak dua kali iaitu pada 2012 dan 2015.
New Zealand akan membuka tirai pertandingan Piala Sultan Azlan Shah 2024 menentang Kanada pada Sabtu ini, jam 4 petang.