SKUAD Hoki Pakistan akan menggunakan pentas Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 sebagai medan untuk melancarkan kembali kehebatan hoki Pakitan.
Hoki di Pakistan dianggap sebagai sukan kebangsaan dan pernah menduduki ranking pertama dunia pada 2000 dan 2001 tetapi kini hanya di kedudukan ke-21 dalam ranking dunia.
Mereka gagal layak ke Piala Dunia India 2023 selepas tidak dapat mara ke pusingan Super Four apabila tewas kepada Jepun ketika kejohanan Piala Asia di Jakarta, Jun lalu.
Pakistan Hockey team matches schedule for Sultan Azlan Shah Hockey Cup IPOH/Malaysia@asia_hockey @NOCPakistan @SportsBoardPak @PlayersPk @mo_ipc @FIH_Hockey pic.twitter.com/0mFgFgJG3C
— Pakistan Hockey (PHF) (@PHFOfficial) October 28, 2022
Pengendali Pakistan Ayaz Mehmood berkata mereka hadir dengan skuad yang dibarisi pemain-pemain muda namun percaya mereka inilah yang bakal menaikkan semula status hoki Pakistan.
“Kami datang dengan pasukan yang dibarisi pemain muda dengan pengalaman yang minimum tetapi kami percaya inilah skuad yang akan menaikkan semula status hoki Pakistan.
“Persatuan Hoki Pakistan telah melakukan telah melakukan perubahan drastik dalam pasukan selepas kami gagal ke Piala Dunia dan memutuskan untuk bergerak ke hadapan dengan pemain muda.
“Purata umur pemain dalam skuad ini adalah 23 tahun. Kami mempunyai beberapa pemain yang pernah bermain di peringkat antarabangsa tetapi secara asasnya kami mempunyai 10 pemain yang langsung tidak mempunyai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa dengan kebanyakan hanya bermain di peringkat liga domestik,” katanya.
Pakistan pernah muncul juara kejohanan Piala Sultan Azlan Shah sebanyak tiga kali (1998, 2000 dan 2003), tempat kedua sebanyak enam kali (1983,1987, 1991, 1994, 2004 dan 2011) serta dua kali mendapat tempat ketiga (1985 dan 2005).
Pakistan akan membuka kempen pada Selasa menentang Afrika Selatan dalam penyertaan mereka yang ke-22 dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022.