SELEPAS tewas kepada Korea Selatan, harapan menyaksikan skuad hoki kebangsaan bangkit ketika bertemu Pakistan, tidak menjadi kenyataan apabila sekadar seri 1-1 Piala Sultan Azlan Shah, di Ipoh.
Keputusan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya sejauh mana berbaloinya segala program termasuk aksi persahabatan Jelajah Eropah.
Mungkin kesempatan menentang Belgium, pasukan ranking kedua dunia bulan lepas tidak cukup memberi input buat pasukan kebangsaan meningkatkan permainan.
Pada perlawanan kedua semalam, Malaysia di depan pada minit ke-26 apabila Shello Silverius menjaringkan gol padang, sebelum Arbaz Ahmad menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36 menerusi set piece pukulan sudut penalti.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia dan Pakistan berkongsi satu mata di kedudukan tercorot saingan liga round robin.
Hoki Piala Sultan Azlan Shah
Keputusan Perlawanan
PAKISTAN 1-1 MALAYSIA
🏑 (MAS) Shello Silverius 26'
🏑 (PAK) Arbaz Ahmad 36'#pialasultanazlanshah2022#FlashSukan— Flash Sukan (@FlashSukan) November 2, 2022
Korea Selatan mencapai kemenangan kedua, mengatasi Jepun 1-0, mengumpul enam mata berada di kedudukan teratas manakala Mesir yang bangkit dari kekalahan pertama, menang ke atas Afrika Selatan 3-0 kini menghuni tangga kedua saingan.
Untuk rekod, Mesir adalah pasukan dari ranking paling rendah dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah, iaitu di ranking ke-20 dunia, Pakistan (18), Jepun (17), Afrika Selatan (14) Korea Selatan (12), dan Malaysia ranking ke-10 dunia.
Mungkin pemilihan penjaga gol Speedy Tigers, Hafizuddin Othman sebagai Man of The Match membuktikan satu kejayaan dicapaii skuad negara, atau menjadi petanda betapa Pakistan menguasai perlawanan?