PEMAIN hoki muda Jepun, Tsubasa Tanaka mahu menumpukan perhatiannya untuk menewaskan Pakistan dalam pertembungan teratas kumpulan aksi Piala Sultan Azlan Shah.
Pasukan Jepun yang kini berada di ranking ke-16 dunia telah menarik perhatian media tatkala pasukan itu mencipta keputusan mengejut di Ipoh.
Mereka telah menewaskan pasukan ranking ke-12 dunia Korea Selatan dengan keputusan 2-1 pada aksi pertama dan ranking ke-10 dunia New Zealand dengan keputusan 4-1 pada aksi kedua semalam.
Dalam dua perlawanan pembukaan mereka, mereka telah mengumpul enam mata, menjaringkan 6 gol dan dibolosi hanya 2 gol.
Sementara itu, Pakistan turut mengumpul enam mata berikutan kemenangan mereka ke atas Malaysia pada aksi pertama dengan keputusan 5-4 dan Korea Selatan pada aksi kedua dengan keputusan 4-0.
Tanaka, yang telah menjaringkan dua gol dalam dua penampilan seniornya di Ipoh, adalah sebahagian daripada projek jangka panjang untuk hoki Jepun untuk layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Kongsi Tanaka, pasukan Jepun mengikut prinsip hoki ‘Samurai’ yang dikendalikan oleh jurulatihnya, Yoshihiro Anai.
“Kami memberi tumpuan untuk bermain prinsip hoki ‘Samurai’, kami akan melakukan penetration sebagai satu pasukan dan memberi tumpuan kepada apa yang perlu kami lakukan,” kata Tanaka, yang mengambil sukan hoki ketika berusia 12 tahun.
“Saya harap saya boleh menjaringkan lebih banyak gol menentang Pakistan dalam perlawanan seterusnya.”
Pemain berusia 20 tahun itu yang bermain hoki dari peringkat Bawah 12 tahun hingga ke peringkat senior berkata, kemenangan ke atas Korea Selatan dan New Zealand adalah hasil kesungguhan pemain.
“Saya sangat teruja dengan kemenangan itu. Kami mengikut arahan jurulatih kami dan bermain permainan menyerang.”
Jepun akan bertemu pasukan ranking ke-15 dunia, Pakistan untuk aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah pada jam 6.15 petang hari ini.