TEMPOH masa 10 bulan yang lalu telah memberikan pelbagai kejutan dalam kehidupan pemain penyerang Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abdul Rahim dan kini sudah bersedia melakukan kejutan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.
Pemain berusia 21 tahun kelahiran Pekan, Pahang itu telah dinamakan dalam skuad 18 pemain dan akan melakukan debut dalam kejohanan antarabangsa.
Bakat Tengku Nasrul telah dikesan oleh ketua jurulatih, A. Arul Selvaraj ketika sedang bermain dalam perlawanan persahabatan menjelang kejohanan Piala Razak pada 2021.
“Saya dapat lihat apa yang saya gemari dalam dirinya iaitu pantas, mempunyai kelajuan dan yang paling penting mempunyai reaksi yang pantas walaupun hanya dalam perlawanan persahabatan.
“Saya kemudiannya bertemu jurulatihnya, Sufian Mohd untuk mendapatkan nombornya dan saya menghubunginya dan bertanya jika dia berminat untuk bersama skuad kebangsaan dan juga bercakap dengan bapanya untuk meminta kebenaran.
“Dia terperanjat dengan tawaran itu tetapi bapanya dengan senang hati melepaskan anaknya kepada saya untuk melihat sejauh mana saya mampu bekerja dengan anaknya itu.
“Dia kini sudah lima bulan bersama skuad kebangsaan dan bekerja keras dan berjaya menarik perhatian saya untuk membawanya bersama ke Jelajah Perth dan dia melakukan debut ketika menentang Australia dan bermain selama 27 minit.
“Selebihnya adalah sejarah dan saya turut menamakannya dalam Jelajah Eropah dimana kami bermain empat perlawanan dan dia berjaya bermain selama 97 minit dan saya suka akan sikapnya dan dia berhak untuk berada dalam skuad ke Piala Sultan Azlan Shah ini,” kata Arul.
Bagi Tengku Nasrul pula, dia terkejut dengan perkembangan dirinya dengan skuad kebangsaan dan bersyukur kerana usahanya telah menarik perhatian Arul yang percaya padanya.
“Ianya bagaikan mimpi menjadi kenyataan. Satu ketika saya bermain di peringkat junior negeri dan kini saya bermain pula dengan skuad kebangsaan semuanya dalam tempoh 10 bulan.
“Saya sentiasa bekerja keras dengan pasukan kebangsaan kerana di sana lebih ramai pemain yang berpengalaman dan lebih berbakat daripada saya dan ianya menuntut saya untuk bekerja lebih kuat, mempunyai disiplin yang baik,” katanya.
Dia juga mahu mencetak gol pertama untuk skuad kebangsaan dan berharap dapat melakukannya jika diturunkan ketika menentang Korea Selatan pada Selasa.
Malaysia will open their campaign in the Sultan Azlan Shah Cup 2022 tomorrow against Korea#SultanofAzlnShahCup2022 #MalaysianHockeyConfederation #MalaysianHockey #MalaysianHockey pic.twitter.com/3ejVYZNdTr
— MHC (@hockeymalaysia) October 31, 2022
“Saya sudah bermain lima kali dengan pasukan kebangsaan tetapi masih belum menjaringkan gol dan kini saya selesa dengan peranan saya sebagai penyerang selepas ditukarkan posisi daripada pemain tengah oleh jurulatih.
“Saya mahu menjaringkan gol ketika bertemu Korea Selatan dan jika ianya berlaku pastinya akan menjadi debut impian buat saya di peringkat antarabangsa,” kata pemain yang mula bermain hoki ketika berusia 10 tahun.
Malaysia akan membuka tirai bertemu Korea Selatan pada Selasa dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh yang kembali dilangsungkan selepas dua tahun tidak diadakan ekoran penularan pandemik Covid-19.