KEJOHANAN Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 menjadi landasan terbaik buat skuad hoki remaja negara menilai kemampuan menjelang saingan Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Disember depan.

Sebanyak tujuh daripada lapan pasukan bersaing di SOJC, akan berada di Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan aksi di Stadium Hoki Taman Daya, Johor, dari 29 Oktober hingga 4 November amat signifikan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, SOJC membuka peluang buat pasukan remaja kebangsaan mengintip kekuatan dan kelemahan pesaing yang menggalas cabaran di Piala Dunia Remaja nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika melancarkan logo Hoki FIH Piala Piala Dunia Remaja Malaysia 2023, Jun lalu. Hadir sama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. Pix HOKITA

“Semua pasukan ternama dunia ke Johor akan bersaing di sini (Kuala Lumpur) untuk Piala Dunia Remaja kecuali Great Britain.

“Saya berterima kasih kepada Persatuan Hoki Johor kerana menganjurkannya,” kata Subahan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk seri Subahan Kamal mahu seluruh pasukan hoki remaja negara, menggunakan kesempatan menentang pasukan terbaik dunia di Piala Sultan Johor sebagai persaiapan ke Piala Dunia Remaja, Kuala Lumpur, Disember depan.

Menurutnya, aksi di Stadium Hoki Taman Daya itu akan membuka ruang buat barisan kejurulatihan dan teknikal membuat analisa kekuatan dan kelemahan pasukan lawan yang akan dihadapi di Piala Dunia Remaja nanti.

“Sebagai presiden, sudah tentu saya mahu pemain belajar sebanyak mungkin, melihat kelemahan diri dan pasukan, lalu perbetulkannya kerana kita ada tidak sampai dua bulan sahaja lagi untuk Piala Dunia Remaja.”

Undian pada saingan Piala Sultan Johor 2023.

Kecuali Great Britain, Australia, India, Jerman, New Zealand, Pakistan dan Afrika Selatan termasuk Malaysia, akan beraksi di Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 5 hingga 16 Disember depan.

Pada saingan SOJC 2023, Australia diundi dalam kumpulan A bersama Great Britain, Jerman dan Afrika Selatan, manakala Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama India, New Zealand dan Pakistan.

Skuad bimbingan Amin Rahim bertuah kerana tidak berada satu kumpulan dengan pesaing di Piala Dunia Remaja.

KHM jalin kerjasama dengan Media Prima Audio (HotFM dan Kool101) yang bernaung di bawah Kumpulan Media Prima Berhad selaku rakan radio rasmi FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Kuala Lumpur, Malaysia 2023.

Dalam pada itu, Subahan nampaknya mengubah sasaran buat skuad remaja di Piala Dunia nanti apabila menyatakan layak ke suku akhir sebagai sasaran awal, berbanding sasaran ke separuh akhir dilaungkan ketika melancarkan logo Piala Dunia Remaja beberapa bulan lalu.

Di Piala Dunia Remaja nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Argentina, Australia dan Chile manakala Kumpulan B dianggotai Mesir, Perancis, Jerman dan Afrika Selatan.

Kumpulan C pula disertai Kanada, India, Korea Selatan dan Sepanyol manakala Belgium, Belanda, New Zealand dan Pakistan berada dalam Kumpulan D.