TEWAS buat kali keempat, namun skuad hoki remaja negara berjaya menunjukkan mereka ada potensi untuk beraksi lebih baik pada masa hadapan.

Siapa mahukan kekalahan, begitu juga dengan skuad remaja negara, pasti seboleh-bolehnya mahu memburu kemenangan sulung dalam kejohanan hoki Piala Sultan Johor tahun ini.

Namun Great Britain masih terlalu hebat berbanding skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim.

Great Britain mendahului empat gol masing-masing jaringan Tom Moorhouse, Fred Newbold, Jamie Golden dan Harrison Stone.

Selepas itu baru ada kebangkitan daripada Young Tigers apabila memperoleh dua gol.

Jaringan gol padang Muhammad Danish Aiman dan pukulan sudut penalti Shahmie Irfan Suhaimi itu bagaimanapun agak terlewat untuk sekurang-kurangnya skuad negara mengikat pasukan lawan.

Tamat perlawanan, Malaysia kalah 2-4 kepada Great Britain.

Kekalahan itu mengekalkan Malaysia di tangga terbawah liga sepusingan tanpa sebarang mata.