SEJAK menjuarai edisi sulung kejohanan hoki antarabangsa lelaki bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) pada 2011, negara terus kemarau gelaran sejak 12 tahun lalu, namun Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) belum mampu menampakkan kemarau itu akan berakhir.
Sememangnya kejohanan belum berlangsung dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku, namun persiapan pasukan yang hanya dibentuk Ketua Jurulatih Remaja Lelaki, I Vikneswaran, kira-kira sebulan lalu itu, menggambarkan di mana kedudukan yang bakal dihuni skuad negara, pada kempen yang akan berlangsung 19 hingga 26 Oktober ini, di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Dalam sidang media di Pejabat KHM, Bukit Jalil, pada Khamis, Vickneswaran tidak meletakkan sasaran tertentu buat skuad bimbingannya dengan hanya menyatakan mahu pemain menampilkan prestasi terbaik, bagi mengelakkan tekanan bagi menghadapi kejohanan itu.
“Secara peribadi, sudah tentu saya mahu keputusan terbaik di SOJC, tapi kami perlu tempuhi langkah demi langkah. Kami perlu bermain dengan jujur dan pennuh bangga dan tidak perlukan tekanan yang tidak perlu ke atas pemain dan diri kami.
“Tekanan memang penting, tetapi tekanan itu biarlah yang baik yang membawa manfaat dan boleh diurus. Contohnya tekanan ketika mengambil pukulan sudut, sesuatu yang kami boleh uruskan dan bukannya tekanan yang diluar kawalan,” katanya dalam sidang media.
Jurulatih itu berkata, SOJC2024 menjadi kejohanan persiapan untuk skuad negara menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia 2024 yang akan berlangsung di Muscat, Oman pada 11 hingga 19 November depan.
Menurut Vikneswaran, SOJC2024 akan menjadi kejohanan pertama buat skuad 20 pemain yang dikumpulnya awal september lalu, dan pemainnya mentah pengalaman antarabangsa.
Namun, dalam skuad itu, sembilan daripada 20 pemain pernah beraksi di SOJC2023.
Sebagai persediaan, beliau berkata, tiga perlawanan persahabatan menjelang kejohanan akan diadakan bermula 14 September, di Johor.
Namun, skuad bimbingannya turut mendapat sentuhan pengalaman legenda hoki Pakistan, Sohail Abas yang hanya menyertai KHM awal bulan ini.
“Setakat ini, pemain sudah tiga kali mendapat sesi latihanbersama Sohail dan dia membantu dari aspek pukulan sudut penalti yang boleh menghasilkan jaringan, dalam kejohanan kali ini kita akan berdepan lima pasukan yang tidak boleh dipandang remeh.
“Saya tetap percayakan emain saya kerana mereka memiliki semangat melawan dan tidak akan menyerah dengan mudah,” katanya lagi.
Skuad 20 pemain negara akan memulakan kempen SOJC2024 menentang New Zeland pada 19 Oktober, disusuli menentang Jepun (20 Oktober), India (22 Oktober), Great Britain (23 Oktober) dan menutup pusingan ropund robin menentang Australia (25 Oktober).
Untuk rekod, pada penganjuran pertama 2011, Malaysia muncul juara dengan menewaskan Australia di final.
Namun selepas itu, skuad negara gagal meraih kejuaraan dengan pencapaian terbaik muncul naib juara dicapai pada 2013 selepas tewas kepada India.
Manakala edisi tahun lalu menyaksikan skuad negara menamatkan saingan di kedudukan ketujuh daripada lapan negara bertanding.