SKUAD hoki remaja negara akhirnya meraih mata pertama pada saingan Piala Sultan Johor setelah berjaya mengikat Jepun pada saingan terakhir liga sepusingan pada Jumaat.

Jepun membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Kobayashi Masasto pada minit ke-33 sebelum Mamat Muhamad menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Malaysia kemudian mendahului 2-1 menerusi jaringan Shahmie Irfan Suhaimi pada minit ke-42, namun Saeki Ikumi mengikat kedudukan buat Jepun pada minit ke-46.

Tamat perlawanan Malaysia 2, Jepun 2 sekali gus membolehkan Young Tigers memungut mata pertama dalam kejohanan dan kekal di keduduakn terbawah liga.

Hari ini, Malaysia bakal berdepan Afrika Selatan dalam perlawanan penentuan tempat kelima/enam.

Terdahulu, Great Britain dan India terikat 5-5, membolehkan India menduduki tangga kedua liga manakala Great Britain ketiga.

Australia mengekalkan kedudukan teratas liga selepas menang 6-1 ke atas Afrika Selatan dan akan menentang India bagi menentukan kejuaraan manakala Great Britain menentang Jepun bagi penentuan tempat ketiga.