AKSI pembukaan Liga Super 2023 yang juga perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sememangnya menjadi perhatian penyokong bola sepak tempatan.
JDT sebagai penyandang juara Liga Super yang juga juara sembilan kali berturut-turut sudah pasti mahu meneruskan momentum kemenangan yang dicapai musim lalu dan menjadikan Terengganu sebagai mangsa pertama di laman sendiri.
Terengganu FC pula cuba melakukan kejutan dengan barisan pemain dan jurulatih yang serba baharu dengan menewaskan JDT pastinya akan menjadi mimpi indah buat skuad Penyu untuk memulakan kempen musim ini.
Harimau Selatan dibawah kendalian jurulatih baharu, Esteban Solari mempunyai persiapan pramusim yang mantap di Dubai apabila bertemu gergasi Eropah seperti FC Rostov, Levski Sofia, Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg serta satu kelab UAE, Fursan Hispania.
Juara Liga Super ini bukan sahaja berjaya mempamerkan aksi yang mantap di Dubai malah mampu melakar keputusan yang baik dengan mencatatkan tiga kemenangan dan dua kekalahan.
Terengganu FC juga tidak kurang hebatnya apabila terbang ke Thailand untuk kem pramusim dengan menghadapi empat perlawanan bertemu tiga kelab Thailand dan satu kelab Denmark, FC Odense.
Anak-anak buah Tomislav Steinbruckner berjaya mencatat dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan di Thailand ditambah beberapa keputusan yang positif dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di sini.
Harimau Selatan dilihat bersedia untuk memulakan liga dengan kehadiran beberapa pemain baharu seperti Diogo dan Syihan Hazmi bakal memperkuatkan lagi skuad JDT yang sudah pasti akan menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk menjulang Piala Sumbangsih kelapan dan keenam berturut-turut mereka.
Skuad Peteh pula dilihat masih bereksperimen dengan kesebelasan terbaik selepas kemasukan beberapa pemain baharu terutama pemain import yang pastinya memerlukan masa untuk mendapat keserasian antara pemain.
Diatas kertas, JDT dilihat tidak berhadapan masalah untuk mengutip tiga mata penuh namun dalam bola sepak apa pun boleh terjadi dan pastinya satu aksi yang menarik bakal disajikan kepada para penyokong kedua-dua pasukan.
Jangkaan kesebelasan utama
JDT: Farizal Marlias, Jordi Amat, Shane Lowry, Corbin Ong, Matt Davies, Afiq Fazail, Leandro Velasquez, Hong Wan, Arif Aiman, Fernando Forestieri, Bergson
TFC: Rahadiazli, Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad, Sardor Kulmatov, Shahrul Nizam, Alif Zakaria, Domagoj Pusic, Nik Sharif, Adisak Kraison, Sony Norde, Ivan Mamut