PENOLONG Ketua Jurulatih Paris Saint Germain (PSG) Bawah-14 Tahun, Hilbert Pascal akui berdepan tekanan apabila terpaksa bermain dengan pasukan yang belum pernah mereka temui sebelum ini.
“Ia merupakan tekanan bermain di sini untuk berdepan dengan pasukan Thailand, Jepun, Malaysia, Indonesia. Ia sesuatu yang bermakna buat kami,” ujarnya ketika ditemubual wartawan FLASH SUKAN di Swisbel Hotel, Kuantan, Pahang.
Biarpun mewakili kelab Eropah, namun pemainnya masih muda dan tidak memiliki fizikal yang besar seperti skuad senior Paris Saint Germain.
Bagaimanapun, dia tetap yakin dengan kepantasan dan kemahiran teknikal tinggi yang dimiliki pemainnya berbanding kelab di Asia.
“Pemain kami tidak memiliki kelebihan dari segi fizikal namun kami memiliki kepantasan dan baik dari segi kemahiran teknikal individu,” jelasnya.
Tambahnya, kejohanan ini merupakan medan terbaik bagi pemain memperbaiki kelemahan individu serta sasaran utamanya adalah untuk menjadi juara keseluruhan Piala Supermokh 2022 bagi Kategori Bawah 14 Tahun.
“Bagi saya, ia sesuatu yang baik buat kami untuk menyertai pertandingan ini. Sudah tentu kami ingin perbaiki dan membangunkan pemain berdepan dengan pasukan dari negara-negara lain.
“Sasaran saya sudah tentu ingin memenangi kejohanan ini namun ia bukan mudah memandangkan kita tidak mengetahui keupayaan lawan dari negara lain,” katanya.
Kejohanan Piala Supermokh 2022 bakal dilangsungkan di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang bermula 23 hingga 30 Oktober ini melibatkan tiga kategori iaitu Bawah-12 Tahun, Bawah-13 Tahun dan Bawah-14 Tahun.