SKUAD program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A dan JDT Academy masing-masing merangkul gelaran kejuaraan dalam kategori B-12 tahun dan B-14 Piala Supermokh 2024 selepas memenangi perlawanan akhir di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Isnin.
Turun dengan misi mempertahankan gelaran kejuaraan musim lalu, skuad NFDP A berjaya melaksanakan misi itu apabila menewaskan Pattaya United 1-0 menerusi jaringan Muhammad Adam Zharif Zakaria pada minit ke-32.
Gol berpunca dari tindakan pantas Adam yang menyambung hantaran rakan sepasukan sebelum melakukan rembatan kencang ke gawang lawan untuk menjadi satu-satunya gol dalam perlawanan itu.
Dalam kategori B-14 pula, giliran JDT Academy mengecewakan satu lagi wakil Thailand, Buriram United apabila mencatat kemenangan 2-1 sekaligus memberikan kejuaraan berganda buat skuad muda negara dalam kejohanan jemputan melibatkan 24 pasukan dari sembilan negara itu.
Sementara itu bagi penentuan tempat ketiga dan keempat dalam kategori B-12 tahun, JDT Academy berjaya menewaskan NFDP B menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dalam masa perlawanan sebenar.
Untuk kategori B-13 tahun pula, wakil China, Zhejiang PFC melakar kejuaraan apabila menewaskan AMD Future 1-0 dalam perlawanan akhir manakala Avispa Fukuoka dari Jepun berkongsi tempat ketiga bersama-sama pasukan AMD Dream.