PASUKAN Piala Thomas negara berjaya membenam cabaran pasukan Jepun 3-2 sekaligus menjadi juara kumpulan D dalam aksi yang dilangsungkan di Impact Arena, Bangkok, Thailand. 

Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia tampil dengan permainan luar biasa apabila begitu tenang menundukkan pemain pilihan dari Jepun, Kento Momota dengan kemenangan straight set 21-17, 21-8.

Beregu negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei meneruskan momentum cemerlang pasukan negara dengan kemenangan straight set 21-19, 21-16 menewaskan lawan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi. 

Bagaimanapun, perseorangan kedua, Liew Daren terpaksa akur tumpas 16-21, 20-22 kepada Kanta Tsuneyama. 

Taktikal yang digunakan Rexy Mainaky untuk menghalakan bulu tangkis dominan ke arah Akira Koga jelas membuahkan hasil apabila gandingan beregu baru, Aaron Chia-Teo Ee Yie jelas berada pada kelas tersendiri dengan menundukkan pasangan beregu Jepun Akira Koga-Yuta Watanabe dengan keputusan 22-20, 21-17.

Perseorangan muda negara, Leong Jun Hao yang turun sebagai ‘underdog’ akhirnya tewas setelah berhempas pulas dalam pertarungan rubber set 6-21, 21-19,15-21 menentang pemain berpengalaman dari Jepun, Kenta Nishimoto dalam aksi yang berlangsung selama 1 jam 5 minit. 

Pasukan Piala Thomas negara akan bertemu India pada 12 Mei dalam  peringkat suku akhir. 

Seandainya  berjaya melepasi India, pasukan negara akan berhadapan Korea Selatan atau Denmark di peringkat separuh akhir pada 13 Mei ini.