GEMBIRA meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Thomas 2024, namun pemain muda negara, Justin Hoh terkilan kerana tidak dapat menentang idolanya, Kento Momota.

Kekecewaan Justin itu diluahkan pada di akaun Instagramnya menerusi Insta Story: “Saya amat kecewa kerana tidak dapat beraksi menentang awak. Selamat bersara idola ku.”

Pada saingan suku akhir Malaysia-Jepun semalam, skuad negara membenam keegoan pasukan negara matahari terbit itu dengan kemenangan 3-1.

Justin Hoh tidak melepaskan peluang bergambar bersama idolanya, Kento Momota dari Jepun. Justin sepatutnya menentang Momota pada perlawanan kelima suku akhir Malaysia-Jepun, namun skuad negara sudah mengesahkan kemenangan 3-1, sebelum mereka berdua membuat perhitungan.

Mata kemenangan negara disumbangkan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ketika gandingan utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pemain lawan.

Zii Jia yang pertama turun ke gelanggang mendapatkan mata pertama sebelum kekalahan Aaron-Wooi Yik menjadikan kedudukan 1-1.

Jun Hao yang beraksi pada perlawaan ketiga menyumbang mata kedua negara, sebelum Sze Fei-Nur Izzuddin melengkapkan kemenangan 3-1 pada perlawanan keempat.

Justin mampamerkan prestasi cemerlang pada penyertaan Piala Thomas pertamanya.

Justeru, Justin tidak sempat turun beraksi menentang Momota, sekali gus gagal merealisasikan impian pemain negara untuk berdepan idolanya di gelanggang.

Pada Insta Storynya juga, Justin berkongsi kenangan bergambar bersama Momota.

Momota sebagaimana dilaporkan laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum ini, merancang untuk bersara selepas berakhirnya kempen Piala Thomas 2024.

Kekalahan Jepun kepda Malaysia semalam, bermakna aksi terakhir Momota di gelanggang antarabangsa ketika mereka menewaskan Chinese Taipei 5-0 pada perlawanan terakhir kumpulan B.