PASUKAN badminton lelaki Malaysia hanya mampu muncul sebagai naib juara kumpulan D Piala Thomas selepas tewas tipis kepada Denmark dalam perlawanan yang cukup mendebarkan.

Biarpun tewas tipis, realitinya persembahan pasukan badminton lelaki negara harus dipuji selepas menunjukkan aksi yang memberangsangkan serta semangat tidak mengalah dalam permainan.

Denmark memperoleh mata menerusi pemain perseorangan manakala Malaysia memperoleh mata menerusi pemain beregu.

Kali terakhir Lee Zii Jia berjaya menumpaskan Viktor Axelsen dalam permainan adalah ketika kejohanan All England 2021.

Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia tumpas kepada pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen.

Axelsen mengawal permainan dengan begitu baik sehingga menyukarkan Zii Jia untuk bermain permainannya sekaligus beliau tumpas dengan keputusan 16-21, 22-24.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik memberikan mata pertama buat Malaysia apabila berjaya menumpaskan beregu pertama Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya memenangi permainan hasil perubahan taktikal.

Bekas juara dunia itu terlebih dahulu tumpas pada set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya selepas perubahan taktikal dilakukan. Beregu Malaysia memenangi permainan kedua dengan keputusan 17-21, 21-17 dan 21-16.

Denmark kembali berada di hadapan selepas perseorangan keduanya, Anders Antonsen mengalahkan perseorangan kedua negara, Leong Jun Hao dengan mudah, memenangi perlawanan dengan keputusan 21-14, 21-10.

Harapan Denmark untuk memenangi perlawanan dengan lebih awal disekat oleh beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin apabila mereka berjaya mengekang asakan beregu kedua Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard untuk memenangi permainan dengan keputusan 23-21, 22-20. Keputusan ini membolehkan Malaysia untuk meraih mata kedua dalam perlawanan.

Justin Hoh menunjukkan aksi yang baik biarpun tewas kepada pemain yang lebih berpengalaman.

Harapan Malaysia untuk meraih kemenangan diletakkan di bahu perseorangan ketiga negara, Justin Hoh namun beliau menghadapi cabaran yang getir apabila bertemu dengan pemain ranking ke-26 dunia, Rasmus Gemke.

Gemke memulakan permainan dengan cemerlang apabila memenangi set pertama 21-13. Justin Hoh menunjukkan sikap tidak mengalah dan berjaya menarik permainan ke set ketiga selepas mengalahkan Gemke pada set kedua dengan keputusan 21-19.

Namun, kematangan dan pengalaman yang ada bersama Gemke menjadi perbezaan apabila pemain Denmark itu berjaya memenangi set ketiga 21-13 sekali gus memberikan kemenangan mutlak buat negaranya itu.

Malaysia yang sudah mengesahkan tempat di suku akhir terpaksa akur menjadi naib juara kumpulan D dan perlu bersedia untuk berdepan mana-mana pasukan menerusi undian yang akan dibuat hari ini.