PASUKAN badminton lelaki Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Thomas 2024 selepas menumpaskan Algeria 5-0 pada perlawanan kedua.
Skuad negara membuat keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama seperti Aaron Chia, Leong Jun Hao dan Goh Sze Fei selepas menewaskan Hong Kong semalam.
Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan pemain perseorangan Algeria, Adel Hamek dengan keputusan 21-8, 21-6.
Cheam June Wei meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menumpaskan Youcef Sabri Medel 21-9, 21-14 untuk memberi mata kedua untuk Malaysia.
Beregu negara yang melakukan debut di pentas ini, Choong Hon Jian-Mohd Haikal Nazri meneruskan momentum kemenangan Malaysia apabila menewaskan wakil Algeria, Sifeddine Larbaoui-Mohamed Abdelaziz Ouchefoun 21-8, 21-3 untuk mengesahkan kemenangan Malaysia.
Justin Hoh berjaya menyumbangkan mata keempat untuk negara selepas menampilkan aksi yang baik menentang perseorangan ketiga Algeria, Mohamed Abderrahime Belarbi 21-10, 21-14.
Satu lagi beregu negara iaitu Nur Izzuddin-Soh Wooi Yik melengkapkan malam gemilang buat badminton Malaysia apabila tampil cemerlang untuk menewaskan wakil Algeria, Koceila Mammeri-Youcef Sabri Medel 21-13, 21-9.
Malaysia akan berdepan Denmark pada aksi terakhir kumpulan D untuk menentukan juara kumpulan pada Selasa.