SEPERTI tidak percaya bahawa pasukan Piala Thomas India yang tidak diletakkan sebarang harapan mampu melangkah sehingga ke peringkat akhir kejohanan yang berlangsung di bumi Thailand kali ini. 

Jika dilihat dari barisan pemain yang diturunkan, India sama sekali tidak di pandang oleh mana-mana negara sebagai pencabar. 

Rekod di atas kertas,  pasukan India mencatat sejarah mara ke final buat kali pertama adalah berkait rapat dengan kehebatan tiga perseorangan mereka. 

Perseorangan pertama India, Lakshya Sen menghuni ranking ke-9 dunia juga merupakan naib juara All England 2020, meskipun tidak ramai menyedari hakikat tersebut dan menganggap dia hanya pemain belasahan. 

Perseorangan kedua India, Srikanth Kidambi menghuni ranking ke-11 dunia serta pernah menjadi pemain pertama India yang melangkah ke final Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol 2021 dengan meraih pingat perak. 

Perseorangan ketiga India, ranking ke-23 dunia, turut  merupakan prospek negara Bollywood tersebut meskipun di label sebagai kuda tua, namun pengalaman jelas memihaknya dengan pernah meraih gangsa Kejohanan Asia 2018 di Wuhan serta membantu pasukan India menjuarai Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast. 

Sementara itu, gandingan beregu Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy tidak kurang hebatnya apabila terkini berada pada ranking ke-7 dunia selain meraih perak acara beregu Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast. 

Jika diimbas dalam perlawanan kumpulan C, India tidak berada pada momentum yang begitu baik apabila  tewas 2-3 kepada Chinese Taipei. 

Namun, segala-galanya berubah bermula di peringkat suku akhir bertemu Malaysia, apabila mereka mengejutkan pasukan negara yang sudah berkira-kira untuk beraksi di separuh akhir. 

Rekod cemerlang itu sekali lagi direalisasikan India dalam pertemuan separuh akhir, menentang pasukan pilihan Denmark apabila turut menang 3-2.

Ia sekaligus mencipta sejarah paling gemilang buat pasukan Piala Thomas India apabila kali pertama melayakkan diri ke peringkat akhir kejohanan sebesar ini. 

India juga memperbaharui rekod terbaiknya sebelum ini dengan kali terakhir mara ke peringkat separuh akhir pada 1979.

Aksi hangat final Indonesia menentang India akan berlangsung sebentar lagi di gelanggang 1, Impact Arena, Bangkok pada 1 petang waktu di Thailand (2pm di Malaysia). 

Mampukah India melakar kejutan menjadi juara Piala Thomas buat kali pertama atau Indonesia terus menambah koleksi kejuaraan kali  ke-15 mereka di saingan berprestij ini?

Persoalannya kini, adakah pasukan negara yang semakin merudum prestasinya atau India yang semakin meningkat naik?

Solusi segera harus dicari BAM bagi melahirkan lebih ramai atlet yang boleh membawa cabaran negara kepada satu tahap yang digeruni seperti suatu ketika dahulu. 

Penyokong negara sudah muak dengan alasan yang diberi, kini mereka mahukan keputusan. 

Selepas ini, penulis berharap Malaysia dapat kembali menjadi kuasa besar dalam badminton dan merencana strategi terbaik bagi beraksi di peringkat tertinggi kejohanan.