PENGENDALI perseorangan lelaki negara, Datuk Tey Seu Bock mengakui, bebanan besar digalas skuad Piala Thomas negara di Chengdu, China, ekoran ketiadaan Ng Tze Yong.
Namun, beliau percaya Leong Jun Hao mampu menggalas peranan Tze Yong sebagai perseorangan kedua negara.
Seu Bock berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Jun Hao melakukan persiapan rapi sepanjang menyertai kem latihan pusat, sejak minggu lalu sebaik mengetahui ketiadaan Tze Yong.
Jun Hao yang juga bekas juara remaja Asia, dijangka menentang Ng Ka Long pada aksi pertama Kumpulan D, bertemu Hong Kong, Sabtu ini dengan kedua-duanya belum pernah bertemu.
“Setakat ini, dia menunjukkan peningkatan yang cukup bagus. Pada awalnya dia memikul tugas selaku perseorangan ketiga, namun sekarang tanggungjawabnya adalah sebagai perseorangan kedua dan mungkin pertama.
“Dia sudah bersedia sepenuhnya dari segi psikologi. Kita tidak tahu dia akan jumpa siapa, mungkin Ka Long (menentang Hong Kong) dan mereka tidak pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.
“Semua orang sudah tentu menjangka Ka Long menang, jadi bagi saya, Jun Hao tidak akan berdepan tekanan. Dia akan turun dan buktikan dia mampu melakukannya kerana peluang adalah 50-50,” katanya, ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, sebelum berlepas ke Chengdu, semalam.
Jun Hao pernah melalui saat sukar pasukan lelaki negara ketika beraksi di final Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) di Setia Alam, Februari lalu, apabila terpaksa tampil selaku perseorangan pertama ketika menentang China.
Dia terpaksa dinaikkan sebagai perseorangan pertama selepas Tze Yong kembali dihantui kecederaan selain Lee Zii Jia yang mengadu masalah sinus.
Sementara itu, mengatasi Hong Kong di peringkat kumpulan menjadi kewajipan buat skuad Piala Thomas negara untuk mara ke pusingan kalah mati.
Selain Hong Kong, skuad lelaki negara akan bertemu Algeria pada Ahad ini serta juara edisi 2016, Denmark yayng juga pilihan utama dalam kumpulan D, pada 30 April nanti.
“Kita sudah tetapkan fikiran masing-masing biarpun sesukar mana perlawanan itu nanti. Undian sudah dibuat, jadi tidak ada pilihan selain berdepan cabaran itu, begitu juga dengan negara lain yang berada dalam situasi seperti kita,” kata Seu Bock.
Selain Jun Hao, pemain perseorangan negara turut dibarisi oleh perseorangan utama, Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Justin Hoh.