JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menamatkan perlumbaan pemanas badan di Jepun dengan dua kali menaiki, masing-masing dalam acara keirin dan pecut pada Piala Trek Jepun II.
Beraksi di Velodrom Izu, di Shizuoka, hari ini Azizulhasni beraksi dalam acara keirin menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk meraih gangsa, di belakang Kaiya Ota (emas) dan Kento Yamasaki (perak).
The Pocket Rocketman itu cuba menggunakan strategi memecut awal namun dihidu Ota dan Yamasaki yang berjaya mengejar dan memintasnya di garisan penamat.
Semalam, dalam acara pecut, Azizulhasni juga memenangi gangsa.
Pada Piala Trek Jepun II ini, Ota mengungguli kedua-dua pingat emas, pecut dan keirin.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom gagal layak ke final menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pula di tempat ketujuh keirin wanita.
Pada perlumbaan Piala Trek Jepun I kelmarin, Azizulhasni menamatkan saingan keirin di tempat keempat manakala Shah Firdaus keenam.
Perlumbaan di Jepun menjadi perlumbaan pemanas badan kompetitif buat tiga pelumba trek negara, sebelum kembali ke tanah air esok untuk menghadapi saingan Trek Kebangsaan yang dijadual berlangsung minggu hadapan.