BANDAR raya Ipoh bakal mengalu-alukan pembukaan Pickleball Fun Club (PFC) bermula Oktober ini.

Pusat aktiviti terbaharu ini bersedia untuk memperkenalkan sukan Pickleball yang kini semakin popular kepada warga utara dengan menawarkan pengalaman sukan yang menarik dan inklusif untuk pemain dari semua peringkat umur dan tahap kemahiran.

Pickleball, gabungan dinamik sukan tenis, badminton, dan pingpong, telah melihat peningkatan populariti yang pesat, terutamannya di Amerika Syarikat, dan kini, sukan ini semakin mendapat perhatian di Malaysia.

Dengan kemunculan fasiliti baru di Lembah Klang, Miri dan kawasan lain, Ipoh Pickleball Fun Club bersedia untuk membawa sukan yang popular dan mementingkan kesihatan ini ke Utara Malaysia, Ipoh.

Menurut  Pengasas Ipoh Pickleball Fun Club, Lim Mun Yeepickleball adalah pilihan ideal untuk sesiapa sahaja yang inginkan aktiviti baharu  kerana ia merupakan sukan yang boleh dimain oleh semua orang dan keperluan peralatan adalah minimum.

“Matlamat kami adalah untuk memperkenalkan salah satu sukan terbaharu dan menarik ke Ipoh sebagai pilihan senaman tambahan sambil mewujudkan sebuah pusat komuniti yang aktif.

“Pickleball bukan sekadar aktiviti yang popular dan sihat; ia juga menyediakan peluang untuk memupuk hubungan sosial dengan penglibatan diri dalam sukan yang kompetitif dan menyeronokkan. Kami teruja untuk menyediakan ruang yang menggalakkan gaya hidup aktif dan interaksi yang bermakna,” Mun Yee.

Ipoh Pickleball Fun Club menawarkan kemudahan yang dibina khusus untuk pickleball, dan bukannya mengubah suai gelanggang tenis atau badminton yang sedia ada.

Fasiliti ini dilengkapi dengan pagar , sistem pencahayaan, dan lantai gelanggang tertentu untuk meningkatkan pengalaman bermain bagi para pemain. Selain itu, sistem tempahan serba digital PFC memudahkan proses tempahan gelanggang untuk pengguna.

Terletak di pusat bandar, kemudahan ini bersedia untuk menjadi salah satu platform utama di persada sukan Ipoh. Selain memupuk komuniti baharu dan menggalakkan gaya hidup aktif, PFC berhasrat untuk menjadi hab untuk acara dan perhimpunan sosial pada masa hadapan.

Dalam fasa dua pembangunan kemudahan ini, perkhidmatan makanan dan minuman akan disediakan dengan tawaran pilihan yang sesuai dan berkhasiat untuk menyokong gaya hidup yang seimbang.

“Pelancaran Ipoh Pickleball Fun Club menandakan satu pencapian penting bagi bandar raya Ipoh dengan menetapkan standard baharu untuk aktiviti sukan dan sosial di rantau ini. Kami menjemput orang ramai, sama ada anda seorang pemain yang berpengalaman atau pemain baharu, untuk menikmati keseronokan Pickleball bersama rakan dan keluarga terdekat,” tambah Mun Yee.

Ipoh Pickleball Fun Club terletak di 19, Jalan Wan Mohd Salleh, 30450 Ipoh, Perak.