PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mahu benteng pertahanannya diperkemaskan bagi menghadapi aksi kedua Liga Super bertemu Penang FC, 19 Mei ini.
Menurut jurulatih berkenaan, skuad Penyu ketiadaan tonggak dengan sifat pemimpin untuk mengepalai pemain tempatan di posisi pertahanan.
“Saya lihat hanya Matthew (Steenvoorden) ada ciri-ciri ketua yang baik, dia sering memberi arahan dan berkomunikasi dengan pemain-pemain lain.
“Saya gembira dengan apa yang dipamerkan barisan pemain tempatan ketika mengatasi Perak tempoh hari tetapi benteng pertahanan kami perlu menjadi lebih baik.
“Jika kami bolos lebih dari satu gol dalam setiap perlawanan, itu boleh memberi masalah kepada TFC musim ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Jurulatih kelahiran Croatia itu bagaimanapun terpaksa mempersiapkan pasukannya tanpa khidmat Steenvoorden sekurang-kurangnya sebulan gara-gara kecederaan lutut.
Ketika bertemu Perak, Sabtu lalu, TFC mempertaruhkan Sharul Nizam Roshasni dan Ubaidullah Shamsul Fazili dibantu Alif Zakaria dan Faris Rifqi Abdul Rashid.
“Jika memburu tempat kedua atau tiga teratas, TFC tidak boleh bolos banyak gol dan benteng yang ampuh ialah permulaan kepada gerakan serangan,” ujarnya.