KEPUTUSAN berat sebelah dan tidak adil, Jackie Wong harap dapat perhatian Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA, Datuk Mohd Nasir Ali.

Selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara baling tukul besi lelaki, Jackie dan pasukan membuat protes segera selepas mendapati balingan terakhirnya yang disahkan tidak batal dan dipamer pada papan mata, tidak dikira susulan kesilapan teknikal para juri pada hari pertama olahraga dipertanding di Stadium Nasional Morodok Techo.

Jackie mendakwa balingan terakhirnya 64.64 meter (m) seperti dipaparkan pada papan markah, berjaya memintas jarak pesaing  rapatnya, Kittipong Boonmawan 64.49m, manakala hanya catatan 64.20m Jacakie diambil kira.

Jackie Wong memberikan aksi terbaik namun dinafikan pegawai yang mengendali pertandingan.

“Kita protes dan membuat rayuan, lepas tu mereka reject without any reason… jury say we go to find out the video of it, but they did not show to us, just reject our appeal, our protest, tidak adil bagi saya dan amat kecewa dengan keputusan yang dibuat sebab mereka tak tunjuk apa-apa,” kata Jackie.

Meskipun keputusan rasmi saingan sudah dibuat, Jackie berasakan pingat emasnya dirompak dan tidak dapat menerima keputusan itu.

“Saya harap isu ini dapat menarik perhatian CDM, agar perkara ini tidak berlaku lagi selepas ini.”