KEPUTUSAN gimnas negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam tidak ke Kejohanan Dunia, dibuktikan dengan kilauan pingat gangsa buat kontinjen negara, apabila beraksi cemerlang dalam acara melombol di temasya Sukan Asia, Hangzhou.
Pendaratan sempurna pada kedua-dua lompatan, membolehkannya Sharul merangkul gangsa selepas mengumpul purata markah 14.466 mata.
Lebih membanggakan apabila dia berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Korea, Shin Jea-hwan yang menamatkan cabaran di kedudukan keempat.
“Ini memang sesuatu yang saya tunggu-tunggu untuk berjaya meraih pingat buat negara. Dulu selalu saya tengok Ng Shu Wai buat dan turut belajar teknik-teknik dari beliau.
“Akhirnya saya berjaya membuat pendaratan sempurna dan mengulangi pencapaian Shu Wai di Sukan Asia dan pastinya ibu saya akan gembira dapat melihat kejayaan saya kali ini.
“Pingat ini untuk semua terutama keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan berada di belakang saya tatkala saya gagal atau terjatuh,” katanya.
Mengekalkan darjah kesukaran 5.2, jauh lebih rendah berbanding pesaing empat teratas, Sharul menyempurnakan tahap kesukaran itu dengan baik sehingga juri terpikat dengan lompatan dan pendaratan tanpa dikenakan penalti.
Emas dalam acara itu dimenangi atlet Jepun, Wataru Tanigawa dengan 15.016 mata, perak milik atlet Iran, Mahdi Olfati (14.783).
Kali terakhir skuad gimnastik negara merangkul pingat adalah menerusi Shu Wai yang meraih perak ketika temasya Sukan Asia Doha 2006 dalam acara yang sama.