SEJARAH dicipta rangkaian Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Shereen Samson Vallabouy apabila muncul kuartet 4×100 meter (m) wanita pertama negara meraih pingat di temasya Sukan Asia, setidak-tidaknya mengubat kehampaan pasukan lelaki yang dibatalkan penyertaan.

Pelari senior, Zaidatul Husniah berkata, kejayaan mereka juga diharap dapat menghadirkan kegembiraan buat rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan prestasi atlet di Sukan Asia Hangzhou.

“Seperti yang saya selalu katakan, dalam acara berganti-ganti, apapun boleh berlaku, dibatalkan atau bagaimana, namun paling utama kami menang atau kalah sebagai sebuah pasukan.

“Sebenarnya kemenangan ini untuk rakyat Malaysia… kita sedih apabila pasukan lelaki dibatalkan jadi saya harap gangsa ini mengubatinya,” kata Zaidatul Husniah yang lebih mesra dengan sapaan Adik.

Bagi Shereen, anggota terbaharu kuartet itu, dia langsung tidak meletakkan harapan pingat, “Kami turun bersaing dan melakukan yang terbaik, tapi kini bersyukur kerana dapat gangsa.”

Pingat gangsa itu adalah yang kedua buat Shereen selepas dia turut meraih tempat ketiga acara 400m wanita.

Berbekalkan dua kalungan pingat gangsa di temasya kali ini, Shereen menganggap ianya sangat istimewa.

“Saya alami kecederaan hamstring hanya dua minggu sebelum Sukan Asia, terpaksa kurangkan kadar latihan dan berdepan cabaran mental.

“Tapi selepas itu dapat pulih tepat pada masanya, saya berlatih bersungguh-sungguh dan sedar apabila sampai ke sini, saya mesti berjuang dan saya gembira dapat bertanding tanpa dibelenggu kecederaan,” kata Shereen lagi.

Turut berdepan situasi kecederaan, Azreen Nabila, yang menganggap pingat gangsa dimenanginya itu menjadi pencapaian tertinggi dalam sukan olahraga.

“Selepas mengalami kecederaan di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Bangkok, saya amat bersyukur pulih dengan cepat dan bersaing di sini,” katanya.

Kuartet negara menamatkan larian 4x100m di kedudukan keempat dengan catatan 45.01 saat (s), di belakang Bahrain, sebelum rangkaian pelari negara itu dibatalkan penyertaan, susulan melakukan kesilapan TR24.7 ketika membuat penggantian baton.

Pembatalan itu menyaksikan kuartet Azreen Nabila, Zaidatul Husniah, Nur Afrina Batrisya dan Shereen dinobatkan selaku pemenang pingat gangsa.

Tiada perubahan bagi kedudukan pertama dan kedua di mana pingat emas dimenangi China yang melakukan catatan 43.39 saat.

Kuartet Thailand yang melakukan catatan 44.32 saat memenangi pingat perak.