MANCHESTER City kembali ‘gayat’ di puncak Liga Perdana Inggeris hasil kemenangan 3-0 mengalahkan Brighton & Hove Albion di Etihad pada lewat Khamis pagi.

City mendominasi permainan dengan mencatatkan 65.2 peratus penguasaan bola namun jaringan hanya muncul di babak kedua.

Pasukan Pep Guardiola mendapat rentak menerusi tiga gol dari Riyad Mahrez (minit ke-53), Phil Foden (m-65′) dan Bernardo Silva (m-82) dan menolak Liverpool pada kedudukan kedua liga.

The Citizens mengumpul 77 mata, berkelebihan satu di atas The Reds manakala Brighton di tangga ke-10 kutipan 40 mata.

Gaya pemain Arsenal selepas Eddie Nketiah menjaringkan gol. FOTO : Premier League

Sementara itu, Chelsea mencatat keputuan buruk ketika melayan kunjungan Arsenal di Stamford Bridge. Pasukan Thomas Tuchel akur tewas jaringan 2-4.

Eddie Nketiah meledak dua gol Arsenal ke gawang Chelsea dan satu lagi masing-masing dari Emile Smith Rowe serta penalti Bukayo Saka.

Bagaimanapun, Chelsea sempat dua kali menyamakan kedudukan, Timo Werner dan kapten Cesar Azpilicueta tetapi gagal mengekang kebangkitan The Gunners selepas itu.