JUARA BMX kebangsaan 2023, Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd Raziff akan menjalani latihan di Korea Selatan selepas diletakkan antara prospek medal di kejohanan antarabangsa serta temasya Sukan Sea 2025, di Thailand dua tahun lagi.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan berkata, Sheikh Muhammad Taslim yang lebih dikenali dengan timangan Botak, akan berlatih di World Cycling Centre Korea (WCC Korea).

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, PKBM telah berhubung dengan pengurusan WCC Korea dan nama Botak berada dalam senarai menunggu untuk memasuki pusat berkenaan.

“Sebelum ini PKBM telah menghantar lima pelatih BMX iaitu dalam acara Flatland di WCC Korea.

“Kita tak dapat menyenaraikan Sheikh Muhammad Taslim kerana pengurusan WCC Korea hanya mahukan pelumba BMX Flatland.

“Namun kini, WCC Korea bercadang menyelitkan kursus acara BMX Freestykle. Mungkin pada tahun hadapan dia akan ke sana,” kata Abu Samah dalam kenyataan yang diedarkan itu.

Menurut beliau, Sheikh Muhammad Taslim berpotensi menghadiahkan pingat di kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Sea 2025 dan wajar diberi pendedahan di luar negara.

Berdasarkan keputusan Kejohanan Berbasikal BMX Freestyle Flatland Sedunia 2023 di Glasgow Scotland, Sheikh Muhammad Taslim menduduki tempat ke-25 daripada 36 pelumba dengan 60.33 mata, muncul pelumba kelima terbaik Asia dan wakil tunggal Asia Tenggara.

Pada Temasya Sukan Sea Manila 2019, atlet terbabit menyelamatkan maruah skuad berbasikal negara, apabila muncul satu-satunya pemenang pingat menerusi BMX Freestyle.