HANYA disiplin dalam mencapai kecemerlangan prestasi, khususnya melibatkan sukan berbasikal lebuhraya, mampu menjamin sokongan berterusan dari penaja.
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membuat rumusan itu pada Mesyuarat Exco pertama dipengerusikan presiden baharu dipilih, Datuk Amarjit Singh di Kuala Lumpur minggu lalu.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) percaya skuad lebuhraya negara harus dibantu pada era baharu sukan berbasikal 2025, dengan segala cara selepas berjaya meraih beberapa kejayaan termasuk menang pingat emas di Sukan Sea 2023 di Siam Reap.
Beliau mengakui, ketika ini agak sukar untuk PKBM mendapatkan kepercayaan penaja untuk terus menyokong program skuad lebuhraya yang pernah muncul negara terbaik Asia pada perlumbaan Le Tour de Langkawi 1999.
“Sebenarnya bermula 1998, skuad lebuhraya menerima penajaan dari syarikat terkemuka. Ia diteruskan dengan penajaan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).
“Bagaimanapun bermula akhir 2013, PKBM tidak lagi menerima penajaan atau bantuan kewangan khususnya dari KBS. Bagaimanapun, senario ini tidak berlaku di negara lain khususnya Thailand.
“Saya difahamkan skuad lebuhraya Thailand menerima banyak penajaan daripada syarikat swasta negara tersebut. Kenapa perkara ini tidak berlaku di Malaysia.
“Jadi, pada mesyuarat Exco pertama yang dipengerusikan oleh saya, kita bincang secara kritikal berkaitan perkara ini. Kita mahu ubah persepsi bahawa PKBM ialah sebuah persatuan yang bermasalah.
“Apa yang pasti skuad lebuhraya negara menang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam dan Sukan Sea 2023 di Siam Reap, Kemboja,” katanya, dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM pada Khamis.
Justeru, Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) berharap akan ada penaja yang sudi tampil membantu skuad lebuhraya kebangsaan bagi mengharungi Sukan Sea 2025 di Thailand nanti.
Menurutnya, ketika ini skuad lebuhraya kebangsaan tidak menerima hak eksklusif untuk berlatih di luar negara dan menerima bantuan kewangan yang banyak seperti diterima skuad trek negara.
Sementara itu, Mesyuarat Exco pertama PKBM turut melakukan rombakan barisan biro bagi memastikan persatuan tersebut kekal relevan sebagai penyumbang tradisi pingat di Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Sea.
Amarjit mengekalkan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Trek dan Tatatertib.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKBM, Mazlan Md Jail bertukar kepada Jawatankuasa Anti-Doping. Naib Presiden PKBM, Norazman Datuk Abu Samah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Lebuhraya manakala bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Cycling for All dan Pindaan serta Tugas-tugas Khas.