SERAMAI 10 atlet berbasikal sudah sah menyertai temasya Sukan Asia  2022 di Hangzhou, China, September depan, selepas melepasi syarat ketat ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mazlan Md Jail berkata, 10 atlet terbabit layak ke Hangzhou menggunakan kategori A dan B1.

“Kita asalnya mencadangkan 16 nama tetapi keputusan awal hanya melayakkan sembilan pelumba dalam kategori A dan seorang kategori B1,” kata Mazlan.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mazlan Md Jail (kiri) dan Koordinator Kejohanan PKBM, Kamarul Aizat (kanan) menyerahkan 16 nama kepada MOM.

Mazlan berkata, sembilan atlet yang layak di bawah kategori A adalah atlet trek manakala seorang lagi yang layak menerusi kategori B1, atlet lebuhraya.

“Lima pelumba lelaki Datuk Azizulhasni Awang, Muhamad Shah Firdaus Sahrom, Muhamad Fadhil Zonis, Muhamad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah serta empat pelumba trek wanita, Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nur Aliana Syafika Azizan dan Yong An Yi, berjaya mendapat kategori A.

Datuk Azizulhasni Awang dan Muhamad Shah Firdaus Sahrom menjadi harapan utama di Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Manakala untuk lebuhraya, hanya pelumba wanita, Phi Kun Pan tersenarai dalam kategori B1, selepas menduduki tempat keenam perlumbaan di kejohanan Berbasikal Lebuhraya Asia (ACC) 2023 di Rayong, Thailand.”

Sementara itu, Koordinator Kejohanan PKBM, Kamarul Aizat berkata, situasi dua pelumba lebuhraya, Nur Aiman Zariff yang menamatkan saingan Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Asia (ACC) 2023, di kedudukan ke-11, dan pemenang emas Sukan Sea Kemboja, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang menamatkan saingan ACC di kedudukan ke-22, pihaknya tidak akan membuat rayuan kepada MOM.

Untuk rekod, pada temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta, skuad berbasikal negara membawa pulang 1 emas, 1 perak dan 1 gangsa.

Pingat emas dimenangi Azizulhasni menerusi acara pecut, perak pula disumbabng trio pecut berpasukan lelaki (Azizulhasni, Shah Firdaus dan Fadhil) dan gangsa keirin (Azizulhasni).