SELEPAS Malaysia yang mendapat satu slot untuk menghantar atlet pelumba wanita ke Sukan Olimpik Paris 2024, pihak Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyeru kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk menarik semula dana RM 1.5 juga yang telah digantung daripada pihaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya PKBM, Nor Azman Abu Samah turut berharap agar pihak Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh membuka mata tentang perkara itu apabila melihat seorang wakil pelumba negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir terpilih untuk beraksi di pentas Olimpik tahun hadapan.

Justeru itu, Nor Azman menegaskan bahawa peruntukkan dana yang mungkin dapat diambil semula selepas PKBM berjaya melakar beberapa kecemerlangan pada tahun lalu boleh membantu Aisyah dan para jurulatih daripada pelbagai sudut iaitu dalam tempoh perjalanan ke temasya Sukan Olimpik 2024.

“Pihak PKBM telah bertungkus lumus sebelum ini iaitu memastikan atlet-atlet pelumba mempunyai rekod yang baik dan perkara itu dibuktikan dengan kejayaan kita dalam Sukan SEA Vietnam 2022, Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu dan beberapa kejohanan lain yang berjaya membawa pulang pingat.

“Oleh itu, kita sangat merayu agar peruntukkan dana RM1.5 juta yang ditarik balik atas kegagalan pada Sukan SEA 2013 dapat diberikan semula kepada kami untuk membantu meningkatkan kualiti atlet yang akan pergi ke Olimpik.

“Bukan nak cakap MSN tidak tolong kami, tetapi mereka bantu jika dirasa perlu dan hanya dalam kes-kes tertentu sahaja. Oleh itu saya minta mereka menghalalkan semuanya pada detik ini buat pelumba kita, Nur Aisyah,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Sementara itu, turut hadir sama adalah Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill yang senada dengan kenyataan Nor Azman bahawa dana sokongan buat Aisyah amat penting bagi mempunyai persiapan rapi untuk ke temasya sukan tersebut.

“PKBM akan menulis surat rasmi kepada YB Hannah Yeoh untuk memohon sokongan tambahan kepada atlet wanita tersebut kerana dalam tempoh yang singkat iaitu lapan bulan sebelum ke Olimpik ini, dana perlu diperkukuh supaya pihak jurulatih dan sebagainya boleh mengambil bahagian untuk membantu Aisyah.

“Saya percaya pihak MSN sendiri cakna dengan kos yang agak tinggi tetapi ini merupakan satu inisiatif dan usaha penting untuk dapat merealisasikan persediaan atlet ke tahap yang paling baik,” katanya.

Bagi mengimbas semula isu penggantungan dana PKBM, ianya bermula susulan kegagalan skuad lebuh raya negara memenangi emas di Sukan SEA 2013 di Myanmar walaupun badan induk berkenaan mendapat peruntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk program pembangunan acara lebuh raya negara.

ARTIKEL BERKAITAN  : PKBM sebulat suara hantar Aisyah Zubir ke Olimpik Paris 2024

Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin kemudian mengarahkan satu audit dalaman dilakukan ke atas akaun PKBM ekoran adanya aduan khusus berkaitan program berbasikal lebuh raya negara dan laporan perbelanjaan persatuan itu yang didapati terlalu umum.

Ringkasnya, beliau kemudian mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk menggantung pentadbiran PKBM sehingga mereka memberikan kenyataan balas atau bukti mengenai laporan audit serta salah urus tadbir.