TERENGGANU Turtles yakin mampu meraih salah satu daripada dua slot ke saingan Premier Liga Sepak Takraw (STL) melalui aksi playoff yang akan berlangsung Sabtu ini.
Malah kehadiran pemain import Thailand memperkuatkan lagi kualiti pasukan itu yang kini berada pada prestasi terbaik selepas merangkul dua pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma), bulan lalu.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, berkata, Tanaphon Sapyen, 22, yang beraksi di posisi ‘killer‘ bakal menjadi taruhan baharu skuad The Turtles.
“Kami mahu gunakan peluang playoff untuk kembali ke saingan Premier setelah jatuh ke Divisyen Satu pada 2019, dan sasaran kami musim depan menjuarai kategori utama STL itu.
“Berdasarkan momentum dan persiapan, saya lihat Terengganu Turtles berpeluang cerah mengungguli saingan playoff, dan saya yakin pemain-pemain akan membuktikan kemampuan.
“Tanaphon yang sebelum ini beraksi untuk padukan Polis Of Thailand dalam liga di sana seorang pemain yang baik. Adunan dengan skuad emas kami, Terengganu Turtles sudah bersedia,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Selasa.
Tengku Zaihan terdahulu turun meninjau sesi latihan Terengganu Turtles di bawah kendalian Rosmadi Mohamad dan Vitaya Boonta daripada Thailand sebelum beraksi Sabtu ini.
Sembilan pasukan termasuk The Turtles bakal merebut dua slot ke saingan Premier STL 2023 iaitu Bomba Fighters, Kedah Eagles, Kelantan Warriors, PDRM Defenders, Pahang Mammoth, Sabah Mountaineers, SSC Hunter dan Penjara.