LEGENDA Selangor, Azman Adnan mengalami sakit tulang kaki sehingga menyukarkannya melakukan kerja-kerja berat.
Berita mengenai kesihatan penyerang sensasi Merah Kuning era 90an itu dikongsikan menerusi laman media sosial X Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menerusi setiausaha politiknya, Farhan Fauzi melawat rumah bekas pemain bola sepak kebangsaan itu semalam bagi rutin Ziarah Madani.
“Saudara Farhan Fauzi meneruskan rutin Ziarah MADANI bagi pihak saya dengan bertemu bekas pemain bola sepak kebangsaan, saudara Azman Adnan semalam.
“Bekas penyerang sensasi Selangor kini menderita sakit tulang kaki sehingga memerlukan rawatan fisioterapi berkala selain beberapa masalah kesihatan lain yang menyukarkannya melakukan kerja-kerja berat dan terputus sumber pendapatan.
“Saudara Farhan Fauzi turut menyampaikan sumbangan bagi pihak saya bagi membantu urusan harian dan perubatan beliau. Semoga saudara Azman cepat sembuh, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di X.
Ziarah MADANI merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Anwar Ibrahim bagi membantu dan meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa.
Azman merupakan bekas pemain Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dan muncul penjaring terbanyak liga dalam kempen Liga Perdana Satu (sebelum dijenamakan semula sebagai Liga Super) pada 1999 dengan 13 gol.
Mengumpul 75 penampilan dengan skuad negara, Azman pasti tidak melupakan dua daripada 49 gol di pentas antarabangsa yang membantu membenam Korea Selatan 3-1 untuk bergelar juara Pestabola Merdeka edisi ke-34.
Di hadapan 30,000 penyokong di Stadium Merdeka, gol-gol pemain itu hadir dalam masa tambahan perlawanan akhir selepas jaringan pembukaan Datuk Dollah Salleh, mengirim Korea Selatan pulang hampa sekali gus mengaut gajaran juara sebanyak RM50,000.