SUKAN akan tetap mendapat perhatian kerajaan biarpun negara berdepan situasi kekangan kewangan dan kelembapan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan itu, berkata, aktiviti sukan dapat membentuk keperibadian rakyat untuk mencintai negara selain menyemarakkan semangat patriotik apabila beraksi di pentas antarabangsa.
“Kita akan cuba sedaya upaya kerana sukan ada kekuatannya. Ia adalah satu aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa, bandar dan pedalaman, kaum atau agama menerusi satu minat di dukung bersama.
“Jika ada keperluan (kewangan) kita akan bentangkan ke Jemaah Menteri walaupun menghadapi kekangan ekonomi dan kewangan… kita akan beri pertimbangan untuk peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abd Halim serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Selain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan komited, memberi kelonggaran dari segi percukaian kepada penderma yang menaja persatuan sukan di negara ini.
“Saya mengulangi kenyataan kepada rakan di kementerian termasuk persatuan untuk memberikan kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma, yang memberikan bantuan dan sokongan untuk memajukan sukan di negara ini,” katanya.