PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi persetujuan untuk Sarawak menjadi tuan rumah bersama bagi Sukan Asia Tenggara (SEA) pada 2027 berikutan kejayaan menganjurkan Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI).

Semasa berucap pada Majlis Penutup SUKMA XXI di Stadium Perpaduan di sini malam tadi, beliau mengucapkan tahniah kepada Sarawak dan negeri-negeri lain yang mengambil bahagian atas semangat perpaduan yang tinggi sepanjang temasya itu.

Beliau menegaskan semangat ini telah menghasilkan persembahan yang luar biasa, termasuk memecahkan tujuh rekod kebangsaan dan 21 rekod SUKMA.

“Memandangkan pencapaian ini dan keupayaan Sarawak yang terbukti untuk menjadi tuan rumah acara sukan utama, saya, bagi pihak kerajaan Malaysia, bersetuju bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.

Majlis Penutup SUKMA 2024 diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching

“Saya akan mengesahkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet akan datang pada hari Rabu,” katanya.

Anwar berkata keputusan ini disokong oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan keupayaan serta persiapan cemerlang yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dan pegawai.

“Dengan komitmen dan usaha luar biasa yang ditunjukkan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dan seluruh pasukan, saya tidak ragu-ragu bahawa Sarawak akan melaksanakan Sukan SEA dengan jayanya,” katanya.

Anwar kemudian meminta persiapan dimulakan segera untuk kedua-dua Sukma dan Sukan SEA akan datang.

Bendera SUKMA diturunkan ketika Majlis Penutup semalam

Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri akan diminta memantau segala persiapan tambahnya.

Beliau menggesa persatuan-persatuan sukan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti dan prestasi atlet serta mengelak gangguan.

“Dalam persiapan untuk menganjurkan acara antarabangsa di Kuching ini, semua jentera dan persatuan kerajaan perlu memulakan persiapan mereka sekarang.

“Atlet harus memulakan latihan mereka untuk memastikan, walaupun kita tidak menang, kita mencapai prestasi cemerlang pada Sukan SEA 2027. ‘Agi Idup Agi Ngelaban’,” katanya.