PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap skuad Hoki Lelaki Kebangsaan menjadi harapan negara untuk menang pada perlawanan akhir Super 4 Piala Asia 2022 pada Rabu.
“Kita berjaya ke perlawanan akhir setelah menewaskan Jepun 5-0 malam tadi.
“Malam ini kita bertemu Korea Selatan, pastinya pasukan kita mampu menunjukkan semangat jitu berdepan pencabar kita.
“Ayuh Keluarga Malaysia, sama-sama kita doakan kejayaan skuad hoki kebangsaan kita untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 40 tahun yang kita nantikan selama ini.
“Buat Skuad Speedy Tigers, buktikan Malaysia mampu menggegar Asia,” ciapnya menerusi Twitter.
Skuad bimbingan Arul Selvaraj berjaya layak ke final Piala Asia yang berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta dengan Korea Selatan menjadi halangan terakhir untuk kita bergelar juara.
Malaysia akan mencatat rekod muncul juara Piala Asia buat kali pertama sekiranya berjaya memenangi perlawanan akhir dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah bergelar naib juara pada 2017.